Skip to main content

Dunia

Assam berdepan banjir terburuk dalam beberapa tahun

A man wades through the flood water near his submerged house in Teok village in upper Assam, India, Friday, July 24, 2026. (AP Photo/Parikhit Saikia)
Seorang lelaki meredah banjir berhampiran rumahnya yang ditenggelami air di kampung Teok, Assam Hulu, India. - Foto AP

GUWAHATI: Negeri Assam di timur laut India sedang berdepan antara bencana banjir paling buruk dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan ratusan ribu penduduk terjejas akibat hujan lebat berterusan dan limpahan sungai utama.

Menurut pihak berkuasa negeri, sekurang-kurangnya 68 orang maut, manakala lebih 524,000 penduduk terjejas di beberapa daerah termasuk Charaideo, Golaghat, Jorhat, Nagaon dan Sivasagar.

Banjir turut memusnahkan jalan raya, jambatan dan kawasan pertanian, memaksa ribuan penduduk berlindung di pusat pemindahan sementara walaupun paras air mula surut di sesetengah kawasan.

Kerajaan Assam dan pasukan penyelamat terus menjalankan operasi bantuan serta pemulihan infrastruktur bagi memastikan bekalan makanan, air bersih dan keperluan asas dapat disalurkan kepada mangsa yang terjejas.

Menteri dan pegawai kerajaan negeri menyifatkan bencana kali ini sebagai luar biasa, terutama di beberapa daerah yang jarang mengalami banjir berskala besar sebelum ini.

Ada kawasan dilaporkan mengalami banjir terburuk dalam tempoh lebih 60 tahun.

Pakar menjelaskan keadaan itu berpunca daripada gabungan hujan monsun yang luar biasa lebat, limpahan anak sungai Brahmaputra dan aliran air dari kawasan tanah tinggi berdekatan, termasuk negeri Nagaland.

Sungai Brahmaputra yang merentasi Assam merupakan antara faktor utama yang menyebabkan negeri itu kerap dilanda banjir.

Kedudukan geografi negeri yang terletak di dataran rendah serta menerima taburan hujan tinggi setiap musim monsun menjadikannya sangat terdedah kepada bencana tersebut.

Pihak berkuasa memberi amaran bahawa hujan berterusan di beberapa kawasan boleh melambatkan usaha pemulihan dan meningkatkan risiko banjir susulan, sekali gus menjejaskan lebih ramai penduduk. 
 

 

Must Watch Video

Advertisement