Skip to main content

Dunia

AMIF 2026 platform perkukuh pelaburan mineral ASEAN - Arthur

Sumber: FB Arthur Joseph Kurup
Arthur Joseph Kurup ketika menyampaikan ucapan pada Mesyuarat Meja Bulat Menteri Peringkat Tinggi bersempena dengan Kongres Perlombongan Sedunia (WMC) 2026 di Lima, Peru. - Gambar Facebook Arthur Jospeh Kurup

KUALA LUMPUR: Malaysia giat menerajui beberapa inisiatif termasuk menyediakan Forum Pelaburan Mineral Asean ASEAN (AMIF) 2026 bagi memperkukuh kerjasama serantau merentasi ekosistem mineral dan kelestarian.

Perkara itu disuarakan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup ketika menyampaikan ucapan pada Mesyuarat Meja Bulat Menteri Peringkat Tinggi bersempena dengan Kongres Perlombongan Sedunia (WMC) 2026 di Lima, Peru.

Beliau berkata, AMIF 2026 yang menghimpunkan penggubal dasar, pelabur, pemimpin industri dan pakar teknikal dari seluruh dunia akan dianjurkan di Kuala Lumpur pada November depan selaras dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi Kerjasama ASEAN dalam bidang mineral pada tahun ini.

Menurut beliau, platform berkenaan membolehkan penggiat bidang membincangkan mengenai mineral kritikal, amalan perlombongan mampan, pemudahcaraan pelaburan, kerjasama geosains serta pembangunan nilai tambah hiliran.

“Platform ini akan memberi tumpuan kepada usaha menggalakkan pelaburan bertanggungjawab, memperkukuh rantaian bekalan serta menyokong pertumbuhan industri bernilai tambah tinggi di ASEAN,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan penyertaan pemain industri mineral antarabangsa termasuk agensi kerajaan dan institusi kewangan yang berfungsi sebagai jambatan ASEAN dengan dunia.

“Kami (Malaysia) percaya rantaian bekalan mineral berdaya tahan memerlukan kerjasama antarabangsa. Malaysia menyokong kerangka kerjasama yang telus, inklusif dan saling menguntungkan,” katanya.

Penyertaan Arthur pada Mesyuarat Meja Bulat Menteri Peringkat Tinggi WMC 2026 tersebut berjaya memperkukuh keterlihatan dan peranan Malaysia dalam perbincangan antarabangsa berkaitan pembangunan sektor mineral kritikal, keselamatan rantaian bekalan global serta amalan perlombongan mampan dan bertanggungjawab.

Mesyuarat itu bertujuan menghimpunkan menteri-menteri, pembuat dasar, wakil industri dan organisasi antarabangsa untuk membincangkan hala tuju pembangunan mineral kritikal, rantaian bekalan global serta perlombongan mampan dalam menyokong peralihan tenaga dunia.

Pelbagai perkara dibincang dan dipersetujui pada sesi itu, antaranya permintaan terhadap mineral kritikal dijangka terus meningkat sejajar dengan pembangunan teknologi hijau, tenaga boleh baharu, kenderaan elektrik (EV) dan kecerdasan buatan (AI).

Peserta turut sepakat bahawa negara pengeluar mineral perlu menumpukan kepada aktiviti pemprosesan dan industri hiliran bagi meningkatkan nilai tambah serta pulangan ekonomi domestik, di samping memastikan pembangunan sektor perlombongan seimbang dengan perlindungan alam sekitar.

Selain itu, perbincangan turut menyentuh kepentingan memperkukuh keyakinan pelabur melalui sistem kawal selia yang cekap, proses perlesenan lebih pantas serta penglibatan komuniti setempat serta penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), automasi, data geologi digital dan sistem pemantauan masa nyata bagi meningkatkan kecekapan industri perlombongan.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement