BERLIN: Gergasi automotif global, Volkswagen (VW) dilapor merancang mengurangkan sehingga 100,000 pekerja di seluruh dunia serta menutup empat kilang pembuatan di Jerman.
Langkah itu dilihat sebagai pelan penstrukturan semula paling besar dalam sejarah syarikat, dengan tumpuan kepada pengurangan kos operasi serta pemotongan pelaburan sehingga 15 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang.
Menurut laporan media industri, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) VW, Oliver Blume bersama Ketua Pegawai Kewangan (CFO), Arno Antlitz sedang menerajui usaha rombakan tersebut, termasuk cadangan memisahkan operasi jenama teras dan perniagaan komponen sebagai entiti berbeza.
Pelan itu melibatkan penutupan tiga kilang utama di Hanover, Zwickau dan Emden, selain sebuah fasiliti milik Audi di Neckarsulm.
Penutupan berkenaan dijangka dilaksanakan secara berperingkat selepas tamat kitaran pengeluaran model kenderaan semasa di setiap lokasi.
Perkembangan itu menunjukkan peningkatan daripada rancangan sebelum ini yang hanya menyasarkan pengurangan kira-kira 50,000 pekerja menjelang 2030.
VW ketika ini berdepan tekanan pasaran yang meningkat susulan persaingan daripada pengeluar kenderaan elektrik (EV) dari China, pertumbuhan industri yang perlahan serta kesan tarif perdagangan global.
Bagaimanapun, pelan penstrukturan itu dijangka berdepan tentangan daripada kesatuan sekerja IG Metall dan majlis pekerja, yang menegaskan akan mengambil tindakan bagi mempertahankan pekerjaan dan operasi kilang.