Skip to main content

Bisnes

Tarif AS: Malaysia akan terus runding jika keputusan tidak memuaskan - PM Anwar

Anwar Ibrahim, Tarif USA
Anwar bercakap kepada kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan sempena Program Semarak Kenegaraan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat, di sini, pada Jumaat.

PORT DICKSON: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan terus mengadakan rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) berhubung isu tarif perdagangan sekiranya keputusan yang diterima tidak memuaskan.

Beliau berkata, kadar tarif yang diumumkan oleh Presiden AS, Donald Trump, ketika ini adalah relatif lebih rendah berbanding yang dikenakan ke atas banyak negara lain.

“Kita sudah utuskan perundingan daripada Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan kini diteruskan oleh Datuk Seri Johari Abdul Ghani. Kalau kita tidak dapat jawapan yang memuaskan, kita akan bangkitkan lagi.

“Tetapi sekurang-kurangnya sekarang ini kita rasa lega kerana tarifnya relatif rendah berbanding banyak negara lain,” katanya kepada pemberita.

Anwar berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan sempena Program Semarak Kenegaraan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat, di sini, pada Jumaat.

Pada Jumaat, Bernama melaporkan Malaysia merupakan antara negara ASEAN yang dikenakan kadar duti terendah sebanyak 10 peratus di bawah tarif baharu Seksyen 301 Amerika Syarikat susulan kegagalan melaksanakan dan menguatkuasakan secara berkesan larangan import barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa.

Selain Malaysia, Kemboja dan Indonesia turut dikenakan kadar duti 10 peratus, menurut kenyataan Wakil Perdagangan AS (USTR), Duta Jamieson Greer.

USTR memaklumkan tindakan itu diambil di bawah Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974 terhadap 60 ekonomi susulan siasatan yang mendapati mereka gagal melaksanakan dan menguatkuasakan secara berkesan larangan import barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa.

Pada masa sama, USTR memaklumkan semua ekonomi lain dikenakan kadar duti Seksyen 301 sebanyak 12.5 peratus, manakala Malaysia turut layak dipertimbangkan bagi pelaksanaan kuota kadar tarif berdasarkan import input dari AS bagi menggalakkan peningkatan penggunaan kapas dan produk tekstil dari negara itu.
 

Must Watch Video

Advertisement