Skip to main content

Bisnes

Ekonomi Malaysia 2026 diunjur tumbuh kepada 4.7 peratus dipacu pusat data, kitaran teknologi - IMF

51714448812_IMF.jpg
IMF memaklumkan pertumbuhan di pasaran pesat membangun dan ekonomi membangun diunjurkan menyederhana kepada 3.8 peratus pada 2026 sebelum pulih kepada 4.5 peratus pada 2027. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang pada kadar 4.7 peratus pada 2026 setelah menerima manfaat daripada aktiviti pusat data serta peningkatan dalam kitaran teknologi global, menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

IMF dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pertumbuhan di pasaran pesat membangun dan ekonomi membangun diunjurkan menyederhana kepada 3.8 peratus pada 2026 sebelum pulih kepada 4.5 peratus pada 2027.

“Semakan yang dilaksanakan tidak seragam, mencerminkan perbezaan dari sudut kebergantungan kepada komoditi, pendedahan geografi, kiriman wang dan hasil pelancongan.

“Selain itu turut diambil kira kepekaan terhadap keadaan kewangan serta kedudukan dalam rantaian nilai teknologi global,” jelasnya dalam kemas kini laporan Tinjauan Ekonomi Dunia (WEO) edisi Julai 2026: Ekonomi Global di Persimpangan Arus Perang dan Teknologi.

Menurut IMF, pertumbuhan global diunjurkan pada kadar 3.0 peratus pada 2026 dan 3.4 peratus pada 2027, menurun daripada purata 3.5 peratus yang dicatatkan pada 2024 dan 2025 selain secara amnya tidak berubah secara kumulatif berbanding unjuran dalam laporan WEO edisi April 2026.

“Penyederhanaan ini sekali gus mencerminkan kesan perang di Asia Barat yang sebahagiannya diimbangi oleh momentum pertumbuhan dipacu permintaan yang semakin pesat dalam kitaran teknologi global, hasil kemajuan dalam kecerdasan buatan (AI) serta peningkatan penggunaannya,” jelasnya.

Impak berkenaan juga berbeza-beza mengikut tahap pendedahan sesebuah negara terhadap peperangan serta kedudukannya dalam rantaian nilai teknologi.

“Pengeksport tenaga di luar zon konflik mendapat manfaat daripada terma perdagangan yang menguntungkan manakala ekonomi yang terlibat dalam pemulihan dipacu teknologi mencatatkan aktiviti ekonomi yang lebih kukuh walaupun merupakan pengimport tenaga.

“Aktiviti ekonomi menjadi lebih lemah bagi negara pengimport tenaga yang mempunyai penyertaan terhad dalam rantaian nilai teknologi iaitu kumpulan yang merangkumi negara berpendapatan rendah,” menurut IMF.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement