Skip to main content

Bisnes

Bioeconomy Corporation perkukuh inovasi tempatan, mantapkan rantaian bekalan makanan negara

Bioeconomy Corp.
Mohd Khairul berkata, sokongan terhadap syarikat berasaskan bio tempatan adalah kritikal bagi memastikan inovasi makanan dapat dibangunkan, dikomersialkan, dan ditembuskan ke pasaran global dengan lebih berkesan.

KUALA LUMPUR: Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) terus memperkasakan peranannya dalam menyokong syarikat bioekonomi tempatan bagi memacu inovasi dalam rantaian bekalan makanan negara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak berkata, dalam mendepani landskap sekuriti makanan yang semakin mencabar, keupayaan pengeluaran makanan semata-mata tidak lagi memadai. 

Katanya, ia kini menuntut sokongan padu daripada aspek teknologi pemprosesan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), pengeluaran berskala komersial, serta sistem pengedaran yang lebih cekap dan mampan.

Beliau berkata, sokongan terhadap syarikat berasaskan bio tempatan adalah kritikal bagi memastikan inovasi makanan dapat dibangunkan, dikomersialkan, dan ditembuskan ke pasaran global dengan lebih berkesan.

“Inovasi tempatan memainkan peranan utama dalam meningkatkan keupayaan industri makanan bagi memperkukuh sekuriti makanan negara. Sokongan kami kepada syarikat bioekonomi membuktikan teknologi berasaskan bio mampu menghasilkan produk bernilai tambah tinggi, sekali gus membina rantaian bekalan yang lebih mampan dan berdaya tahan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, Bioeconomy Corporation kini memberi tumpuan kepada ekosistem yang menghubungkan syarikat tempatan dengan peluang bimbingan, jaringan industri, pendedahan pasaran, serta laluan pengkomersialan yang lebih tersusun.

Beliau berkata, pendekatan ini selaras dengan aspirasi Dasar Bioteknologi Negara 2.0 di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), yang menekankan pengukuhan bioinovasi dan kelestarian sekuriti makanan.

Antara syarikat yang mendapat manfaat daripada ekosistem ini ialah Pure Mylk Sdn. Bhd., sebuah syarikat berstatus BioNexus yang memfokuskan kepada teknologi pemprosesan minuman berasaskan tumbuhan. 

Selain itu, Lai Hin Trading Sdn. Bhd. turut disokong melalui program Bio-based Accelerator (BBA) bagi pembangunan produk berasaskan telur itik.

Must Watch Video

Advertisement