Skip to main content
Advertisement

Hiburan

Ariana Grande kembali dengan konsert jelajah ‘Eternal Sunshine Tour’

81526988599_arianagrande.jpg
Jelajah Eternal Sunshine Tour dijadual berlangsung di 11 bandar utama merangkumi Amerika Utara dan United Kingdom sebelum berakhir di London pada September ini. -Gambar fail

SELEPAS lebih enam tahun tidak mengadakan jelajah konsert berskala besar, penyanyi pop antarabangsa Ariana Grande akhirnya kembali ke pentas menerusi jelajah Eternal Sunshine Tour yang membuka tirainya di Oakland Arena, California pada Sabtu.

Kemunculan semula Grande itu disambut penuh keterujaan peminat, sekali gus menamatkan penantian sejak beliau menutup tirai jelajah terakhirnya pada penghujung 2019.

Konsert pembukaan tersebut memberi tumpuan kepada album Eternal Sunshine dengan 11 lagu daripada album berkenaan dipersembahkan, menjadikannya segmen terbesar dalam keseluruhan setlist yang merangkumi 23 lagu.

Selain Eternal Sunshine, Grande turut mempersembahkan lagu daripada album Positions, Thank U, Next, Dangerous Woman dan My Everything, selain single baharu Hate That I Made You Love Me daripada album akan datang, Petal.

Persembahan turut diserikan dengan elemen visual yang diinspirasikan daripada Eternal Sunshine of the Spotless Mind, apabila beberapa segmen video dipaparkan ketika pertukaran kostum bagi menghubungkan naratif konsert dengan konsep album tersebut.

Grande juga mengekalkan produksi berskala besar dengan penggunaan dua pentas utama termasuk pentas tengah arena.

Konsert ditutup dengan aksi dramatik apabila beliau diangkat ke dalam struktur lampu berbentuk UFO ketika menyampaikan lagu Supernatural.

Jelajah Eternal Sunshine Tour dijadual berlangsung di 11 bandar utama merangkumi Amerika Utara dan United Kingdom sebelum berakhir di London pada September ini.

Permintaan terhadap tiket jelajah berkenaan dilaporkan sangat tinggi dengan kebanyakan tiket premium habis dijual dalam tempoh singkat.

 

Must Watch Video

Advertisement