PEMAIN bass XPDC, Azuar Md Tasi atau lebih dikenali sebagai Zuar merupakan antara ikon XPDC yang disifatkan membawakan genre heavy metal yang sangat dihormati sehingga kini.
Malah kelibatnya setiap kali berada di pentas ketika persembahan merupakan antara momen yang sentiasa dinantikan oleh peminat tegar mereka ketika era kegemilanganya iaitu 1990-an.
Malah dalam keempat-empat anggota XPDC yang ada, Zuar merupakan anggota yang paling ligat memberikan aksi-aksi brutal dengan pelbagai ragam termasuk yang paling terkenal aksi 'helikopter' beliau persis Jason Newsted iaitu bekas pemain bass tersohor Metallica.
Maka tidak hairanlah jika nama Zuar tidak boleh diasingkan daripada jenama XPDC dan kekal disegani bukan sahaja dalam kalangan peminat kumpulan itu tetapi juga kepada rakan-rakan artis yang lain.
Perkara itu juga pernah diakui sendiri oleh Ameng Spring yang menyifatkan Zuar antara pemain bass yang mempelopori aksi dan gaya sedemikian di Malaysia.
"Zuar... orang minat dia kerana gayanya macam pemain bass Metallica, mana ada pemain bass sebelum ini yang ketika beraksi gitar bassnya sampai mencecah lutut seperti Zuar.
"Kalau dulu semua yang kita lihat seakan kaku... gitar itu di dada tetapi Zuarlah yang mula mainkan gaya sedemikian rupa (di Malaysia)," kata Ameng ketika bersiaran secara langsung di salah satu platform media sosialnya sebelum ini.
Malah, ia sebenarnya lebih mendalam buat otai bass rock tanah air iaitu Yantoi.
Bagi Yantoi, Zuar tidak hanya sekadar pemain bass biasa kerana dia turut memiliki keistimewaan tersendiri seperti nama besar yang lain.
"Saya kenal lebih lama dengan duduk di studio dengan mereka.. semualah mereka ini tersuklah arwah J.S Kevin. Zuar ni seorang yang jujur dengan apa yang dia main.., dan pada aku jujur itu penting dalam main muzik... tak semua orang mampu jujur.
"Bila kita jujur dalam permainan barulah datangnya keindahan sesuatu karya itu yang lebih sempurna yang terkeluar hasil daripada kejujuran... Zuar ada tone dia yang tersendiri," jelas Yantoi.
Ditanya tentang persediaan beliau yang akan bergandingan dengan Zuar dalam konsert Ogos ini, Yantoi tanpa berselindung meluahkan rasa bangganya apabila anggota XPDC masih sudi menjemputnya terutamanya dapat beraksi bersama Zuar.
"Jujur aku rasa banggalah bila mereka jemput.. bangga akan main sama-sama dalam konsert itu nanti... khas buat peminat yang tidak pernah lupakan kami.
"Aku sangat gembira membayangkan suasana itu akan berlaku, dia macam ada semangat berbeza kerana kebanyakan lagu dalam XPDC memiliki 'spirit' dan lagu-lagu itulah yang buatkan saya 'enjoy' sangat," katanya sebelum menutup perbualan.