KUALA LUMPUR: Kuartet pecut negara memberi isyarat awal bahawa rekod kebangsaan acara 4x100 meter (m) kini hanya menunggu masa untuk dipecahkan selepas pasukan Majlis Sukan Negara (MSN) merangkul pingat emas pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2026, hari ini.
Barisan pelari negara yang dibarisi Muhammad Azeem Fahmi, Danish Iftikhar Muhammad Roslee, Pengiran Aidil Auf Hajam dan Mohamad Armin Zahryl tampil cemerlang apabila meninggalkan pencabar lain jauh di belakang untuk menjuarai acara itu dengan catatan 39.16 saat (s) di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang.
Pasukan Malaysian University (A) meraih tempat kedua dengan catatan 40.02s, manakala Johor di tempat ketiga selepas merekodkan masa 40.41s.
Azeem yang bertindak selaku pelari pertama menyifatkan catatan itu sebagai permulaan yang sangat positif memandangkan ia adalah kali pertama mereka digandingkan bersama dalam perlumbaan kompetitif.
“Saya sangat positif, satu hari nanti jika kami digandingkan semula untuk berlari dalam mana-mana kejohanan selepas ini, Insya-Allah rekod kebangsaan itu tidak akan bertahan lama,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlumbaan.
Menurutnya faktor keserasian bukan penghalang walaupun ia membabitkan gandingan baharu kerana mereka sudah saling mengenali sejak di bangku sekolah.
“Kami semua hampir sebaya. Armin dan Pengiran berumur 21 tahun, saya 22 tahun dan Danish 19 tahun, jadi tiada masalah untuk bekerjasama kerana kami sudah biasa berlari bersama sejak kecil,” katanya.
Fokus utama kuartet itu selepas ini adalah mengekalkan prestasi cemerlang menjelang Kejohanan Asia Bawah 23 Tahun (B-23), sebelum mengintai peluang menyerlah di pentas Sukan Asia akan datang.
Sementara itu, Pengiran Aidil Auf meluahkan rasa teruja atas kepercayaan yang diberikan untuk menganggotai kuartet berkenaan dan menyifatkan pasukan kali ini memiliki kepantasan luar biasa.
Beliau yang juga berada dalam kuartet pemegang rekod kebangsaan ketika ini dengan catatan 39.03s yang dilakar pada Sukan SEA Thailand 2025 percaya kekuatan setiap anggota pasukan mampu membawa mereka melakar kejayaan lebih besar.
Bagi Mohamad Armin, beliau merakamkan penghargaan kepada MSN kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk beraksi bersama barisan pelari senior dalam acara lari berganti-ganti itu.
Dalam pada itu, Danish Iftikhar yang sebelum ini kecewa dalam acara individu 100m menyifatkan kemenangan hari ini sebagai ‘ubat’ untuk terus bangkit dan mempamerkan prestasi terbaik pada kejohanan akan datang.
-- BERNAMA