PEMBANGUNAN di Indonesia tidak lagi berpusat di Pulau Jawa, sebaliknya memberi tumpuan kepada seluruh wilayah Indonesia, kata Naib Presiden republik itu, Gibran Rakabuming Raka.
Memetik media tempatan Kompas, Gibran menegaskan bahawa Papua merupakan antara wilayah yang menjadi keutamaan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.
“Hadirin yang saya hormati, pembangunan tidak lagi berpusat di Jawa, tetapi berpusat kepada Indonesia,” katanya ketika menghadiri sebuah acara di Manokwari, Papua Barat pada Sabtu (20 Jun).
Menurut beliau, pelbagai projek pembangunan sedang dipercepatkan di wilayah itu, termasuk pembinaan hospital, sekolah rakyat, pasar, Trans-Papua, Program Makanan Berkhasiat Percuma yang disebut 'Makan Bergizi Gratis' (MBG) dan Kampung Nelayan.
“Harapannya, usaha ini dapat mengurangkan jurang ketidaksamaan, memperluas akses serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat Papua,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa pembangunan memerlukan suasana yang kondusif dan aman.
Gibran turut meminta masyarakat setempat menjaga dan memelihara kemudahan yang dibangunkan serta saling mengingatkan agar tidak berlaku sebarang kerosakan.