Skip to main content

Malaysia

[KOLUMNIS] Mengenang Allahyarham Datuk Zahid Ismail: Penggerak daya saing dan reformasi produktiviti negara

Pejabat Setiausaha Negara
Walaupun Allahyarham tidak datang daripada latar sebagai ahli ekonomi, pemikiran beliau sangat tajam dalam memahami struktur ekonomi, isu produktiviti dan keperluan reformasi institusi. - Gambar Pejabat Setiausaha Negara

PADA 20 Jun 2026, sekitar jam 9.30 malam, saya menerima khabar duka mengenai pemergian Allahyarham Datuk Zahid Ismail, mantan Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Sekretariat Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR). Untuk rekod, Allahyarham telah bersara wajib pada Mac 2026 yang lalu.

Sejak 2023, saya dan pasukan ekonomi telah terlibat secara langsung dengan MPC serta Allahyarham dalam beberapa agenda dasar berkaitan daya saing, kecekapan ekonomi dan pasaran buruh. Bagi saya, negara kehilangan seorang tokoh penting yang berjiwa besar, berpandangan jauh dan banyak menyumbang kepada agenda pembaharuan ekonomi negara.

Izinkan saya menukilkan secara ringkas lima sumbangan besar Allahyarham Datuk Zahid kepada daya saing dan kecekapan ekonomi negara, khususnya dalam bidang yang sempat kami ikuti dan terlibat bersama pasukan beliau.

Pertama, Allahyarham merupakan 'brain' utama di sebalik peningkatan kedudukan Malaysia dalam IMD World Competitiveness Ranking 2026. Pada tahun 2026, Malaysia berjaya mencapai kedudukan ke-15, berbanding tangga ke-23 pada 2025 dan ke-34 pada 2024. Pencapaian ini mencerminkan usaha berterusan dalam memperkukuh daya saing, kecekapan institusi dan keupayaan ekonomi negara.

Kedua, Allahyarham turut memainkan peranan strategik dalam menggerakkan cadangan Dasar Gaji Progresif (DGP). Kajian dan analisis berkaitan DGP telah bermula sejak 2021 melalui kerjasama MPC, Kementerian Ekonomi dan pasukan penyelidik.

Kertas Putih DGP kemudiannya dibentangkan di Parlimen pada November 2023, dengan menggariskan hala tuju reformasi pasaran buruh bagi meningkatkan gaji pekerja secara lebih produktif dan mampan. Projek rintisnya mula dilaksanakan pada 2024.

Ketiga, Allahyarham turut mendorong inisiatif pengukuran dan pengiktirafan pendidikan bukan formal. Agenda ini bukan sahaja penting kepada kedudukan daya saing negara, malah menjadi asas untuk memahami dengan lebih mendalam hubungan antara pendidikan, kemahiran dan produktiviti di Malaysia.

Keempat, Allahyarham juga terlibat dalam cetusan dan pelaksanaan Akademi Dalam Industri (ADI), yang sebelum ini dikenali sebagai Academy in Factory. ADI merupakan inisiatif bersifat demand-driven yang berperanan merapatkan jurang kemahiran antara institusi pendidikan dengan keperluan sebenar industri.

Kelima, Allahyarham mengambil tanggungjawab untuk melaksanakan dan menyempurnakan kajian berkaitan AI productivity paradox seperti yang diarahkan oleh kerajaan. Penemuan daripada kajian ini penting bagi memastikan negara dapat memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan secara produktif, dan pada masa yang sama mengelakkan risiko pelaburan teknologi yang tidak diterjemahkan kepada peningkatan produktiviti sebenar.

Walaupun Allahyarham tidak datang daripada latar sebagai ahli ekonomi, pemikiran beliau sangat tajam dalam memahami struktur ekonomi, isu produktiviti dan keperluan reformasi institusi. Saya dan pasukan berasa amat berbesar hati kerana pernah diberi peluang untuk bersama-sama beliau merangka, menyusun dan membedah sebahagian daripada isu-isu penting ekonomi Malaysia.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham Datuk Zahid Ismail dan menempatkan beliau dalam kalangan orang-orang yang beriman. Kita doakan agar Malaysia terus dikurniakan lebih ramai sosok pemimpin dan pemikir seperti Allahyarham — insan yang bekerja dengan tekun, berpandangan jauh dan sentiasa meletakkan kepentingan negara sebagai keutamaan.

Amin ya Rabbal ‘alamin.


*Dr. Mohd Yusof Saari merupakan bekas Ketua Ekonomi Buruh di Kementerian Sumber Manusia dan Emiratisasi, Emiriah Arab Bersatu (UAE). Beliau aktif mengikuti perkembangan ekonomi dan pasaran buruh di Malaysia melalui Centre for Future Studies Berhad (THE FUTURE).

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
 

Must Watch Video

Advertisement