Skip to main content

Hiburan

Pelakon 'Breaking Bad' Giancarlo Esposito peluk Islam di Arab Saudi

[TB]_Giancarlo Esposito_FB Giancarlo Esposito
Keputusan pelakon itu dibuat selepas beliau melalui pengalaman positif sepanjang berada di Arab Saudi serta berinteraksi dengan umat Islam ketika terlibat dalam sebuah produksi. - Facebook Giancarlo Esposito

ANKARA: Pelakon Amerika Syarikat (AS) Giancarlo Esposito, yang terkenal menerusi watak Gus Fring dalam siri televisyen "Breaking Bad", memeluk Islam ketika berada di Arab Saudi, lapor Anadolu Ajansi yang memetik media tempatan pada Ahad.

Saudi Gazette melaporkan bahawa Pengerusi Pihak Berkuasa Hiburan Am Arab Saudi Turki Al-Sheikh berkata Esposito mengucapkan dua kalimah syahadah dan turut menunaikan solat bersama anggota pasukan produksi di sebuah masjid ketika menjalani penggambaran di negara itu.

Menurut Al-Sheikh, keputusan pelakon itu dibuat selepas beliau melalui pengalaman positif sepanjang berada di Arab Saudi serta berinteraksi dengan umat Islam ketika terlibat dalam sebuah produksi di negara berkenaan.

Beliau berkata Esposito turut menyatakan penghargaan terhadap masyarakat setempat dan layanan mesra yang diterimanya semasa penggambaran.

Laporan itu menyebut bahawa satu video yang dikongsi di media sosial menunjukkan pelakon berkenaan menunaikan solat bersama anggota pasukan produksi di dalam sebuah masjid.

Esposito telah membina kerjaya dalam industri filem dan televisyen selama beberapa dekad dan turut dikenali menerusi lakonannya dalam "Better Call Saul", "The Mandalorian" dan beberapa produksi lain.

Laporan itu menyatakan beliau meraih pengiktirafan antarabangsa serta beberapa pencalonan anugerah menerusi lakonannya sebagai Gus Fring.

Menurut Saudi Gazette, Esposito kini terlibat dalam penggambaran Seven Dogs, satu daripada beberapa produksi utama yang sedang dibangunkan ketika Arab Saudi memperluas sektor hiburan dan perfilemannya serta berusaha menarik lebih banyak produksi dan bakat antarabangsa.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement