KUALA LUMPUR: Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) menyifatkan pelaksanaan Program MADANI Rakyat Komuniti India yang diumumkan melalui Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) sebagai langkah penting untuk memperkukuh agenda pembangunan dan pemerkasaan masyarakat India di peringkat akar umbi.
Pengerusi BBC Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata pelaksanaan program itu di 80 kawasan Parlimen seluruh negara membuktikan kesungguhan Kerajaan MADANI untuk memastikan pembangunan masyarakat India dilaksanakan secara lebih inklusif dan dekat dengan rakyat.
Beliau berkata pendekatan itu bukan sahaja memperkukuh pelaksanaan dasar di peringkat nasional, malah memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai hingga ke peringkat komuniti dan kawasan Parlimen.
“Pendekatan ini juga membolehkan wakil rakyat memainkan peranan yang lebih aktif dalam mengenal pasti keutamaan dan cabaran setempat agar setiap program yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada golongan sasaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Zaliha berkata BBC turut mengalu-alukan pengumuman enam inisiatif baharu MITRA bernilai RM65.5 juta yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 50,000 masyarakat India di seluruh negara.
Beliau berkata inisiatif itu, bersama peningkatan peruntukan tahunan MITRA kepada RM150 juta membuktikan kesungguhan Kerajaan MADANI dalam memperluas akses kepada pendidikan, pembangunan modal insan, keusahawanan, kebajikan dan mobiliti sosial.
Sebelum ini, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata MITRA melaksanakan enam inisiatif baharu bagi tahun ini termasuk Program MADANI Rakyat Komuniti India bersama Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen kerajaan.
Ramanan berkata setiap pusat khidmat akan menerima peruntukan RM150,000 bagi melaksanakan program berkaitan pendidikan, keusahawanan, sosial dan kesihatan.
-- BERNAMA