SELEPAS sekian lama tidak pernah berada sepentas, akhirnya XPDC dan Yantoi bergabung dalam satu konsert yang bakal diadakan di Odeon, Kuala Lumpur pada 22 Ogos ini.
Bukan itu sahaja, penganjur konsert 'XPDC Kita Peng Yu – Headbang Live & Loud At Odeon KL' nampaknya benar-benar mahukan kelainan dan memberi pengalaman berbeza kepada peminat tegar kumpulan heavy metal legenda tanah air itu apabila turut menjemput Jatt Black Dogbone selain adik kepada Allahyarham Mael iaitu Syed Ali Syed Ibrahim.
Namun peminat sudah pastinya mahu melihat kombinasi gabungan padu membabitkan Yantoi selaku antara orang kuat di sebalik pembikinan beberapa album XPDC sedikit masa dahulu yang mencetuskan fenomena termasuk album Kita Pengyu dan Brutal.
Menurut Mosli selaku penganjur, XPDC merupakan sebuah kumpulan yang memiliki peminat yang ramai selain karisma mereka selaku kumpulan heavy metal yang disegani.
Justeru, kombinasi gabungan membabitkan Jatt, Yantoi dan Syed Ali adalah resepi untuk menyempurnakan halwa telinga peminat mereka yang tidak lekang dahagakan irama metal 60-an selain mengingati hero sebenar di sebalik kehebatan XPDC dengan adanya Syed Ali nanti.
"Selain gabungan padu mereka, kita mahu semua peminat merasakan vibe sebenar di era keemasan zaman mereka iaitu di era rock kapak di mana di kawasan ini (sekitar Odeon) semuanya berkumpul dan melihat sendiri perjalanan generasi rock tanah air.
"Kita akan persembahkan tiga segmen pada malam tersebut iaitu heavy metal, tribute dan juga metal 60-an. Jadi gabungan ini adalah sesuatu yang berbeza dengan konsert yang pernah XPDC buat sebelum ini," kata Mosli kepada Astro AWANI ketika ditemui di Odeon baru-baru ini.
Idea mengadakan konsert tersebut, katanya timbul beberapa bulan kebelakangan ini sebelum mengadakan perbincangan dengan XPDC.
Walaupun kapasiti venue tidaklah besar ia mampu memberikan keselesaan dan kepuasan audio yang memuaskan.
Jelas Mosli yang berpengalaman luas mengadakan konsert-konsert besar, walaupun terpalit dengan sedikit isu dalam penganjuran konsert di Odeon sebelum ini, namun segala kekurangan tersebut telah ditambah baik termasuk pendingin hawa dengan menelan kos yang tinggi.
"Kapasiti untuk tempat duduk di bahagian atas adalah 220 manalah di bahagian bawah pula boleh memuatkan lebih kurang 1,700 orang.
"Oleh kerana kapasiti yang agak terhad, kita tidak akan teragak-agak konsert ini akan dilanjutkan sehingga dua malam seandainya memenuhi permintaan yang sewajarnya," katanya.
Sistem bunyi pada konsert tersebut juga dijamin akan memberikan kepuasan luar biasa buat peminat yang hadir pada malam tersebut.
Sementara itu menurut pengurus XPDC, Yazid Selamat, konsert yang bakal diadakan ini lebih bersifat persaudaraan dengan menggabungkan mereka yang sememangnya ada kaitan dengan XPDC baik dari segi pembikinan album, konsep malah individu yang terdekat dengan Allahyarham Mael.
"Yantoi adalah kawan lama yang menjadi tenaga penting kepada pembikinan album kami yang pernah meletup dahulu dan semua mengetahuinya.
"Syed Ali pula merupakan adik kepada arwah Mael yang kekal disayangi oleh peminat XPDC sehingga kini walaupun beliau sudah meninggalkan kita.
"Keberadaan Jatt juga sudah pastinya memberi nilai tambah yang besar bagi segmen metal 60-an yang masih digilai peminat XPDC sehingga kini, dan kesemua mereka ini sentiasa akrab dengan XPDC dari dahulu sampailah sekarang," jelas Yazid.
Malah Yantoi Ketika ditemui juga mengakui bahawa beliau sangat menantikan momen ini memandangkan XPDC memiliki nilai sentimental tersendiri terhadap dirinya.
Bahkan, beliau akan memastikan 'keistimewaan' yang berlainan bakal dibawakan khas buat peminat XPDC pada malam tersebut.
"Sebenarnya, saya sentiasa memerhatikan XPDC setiap masa dan sebagai sebuah kumpulan yang kita pernah berganding tenaga, apa yang kita mahukan adalah lebih kepada kepuasan bila kita adakan konsert dan persembahan.
"Teringat masa sama-sama kami dalam pembikinan album, ketika arwah Mael masih ada lagi.. masing-masing tidak dapat nafikan kesemua mereka ada keajaiban tersendiri.
"Album 'Kita Pengyu' dan 'Brutal' misalnya... terlalu banyak kehebatan dan keajaiban dimuatkan dalam karya ketika itu yang kita boleh lihat," jelas Yantoi.
Malah menurutnya, dua album itu terlalu kuat sehingga begitu melekat dan dekat dalam hati beliau disebabkan komitmen dan kekuatan luar biasa yang ada pada album tersebut.
Justeru katanya, apa yang akan dihidangkan Ogos nanti akan mengimbau kembali era kehebatan tersebut menerusi susunan lagu dan persembahan yang bakal dipentaskan.
Yantoi berharap agar semua peminat malah dirinya sendiri akan benar-benar menikmati persembahan tersebut yang sekian lama telah dinantikan.
Lebih menarik lagi, peminat bertuah juga berpeluang menyaksikan sesi uji bunyi dan latihan, serta dapat berjumpa dengan semua ahli XPDC Kita PengYu pada petang hari konsert berkenaan di Odeon KL.
Tiket akan mula dijual bermula 23 Jun secara prapendaftaran sebelum jualan dibuka sepenuhnya pada 26 Jun secara dalam talian yang juga boleh didapati di https://officialxpdckitapengyu.com/