KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan kelulusan pembiayaan TEKUN Nasional sehingga RM20,000 dapat dibuat dalam tempoh 24 jam menjelang penghujung tahun ini bagi mempercepat akses usahawan kepada modal perniagaan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata sasaran itu merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada usahawan menerusi pengurangan birokrasi dan pendigitalan perkhidmatan.
Menurut beliau, TEKUN Nasional juga kini berjaya memproses dan meluluskan permohonan pembiayaan sehingga RM100,000 dalam tempoh tujuh hari.
"Kita sedang mengubah cara kerajaan menyampaikan perkhidmatan kepada usahawan. Pembiayaan tidak seharusnya dibebankan dengan proses yang terlalu panjang dan birokratik.
"Kita mahu usahawan memberi tumpuan kepada membina perniagaan, manakala kerajaan memastikan sokongan sampai dengan lebih pantas," katanya dalam satu kenyataan selepas melancarkan Portal TEKUN Nasional pada Majlis Penutupan Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM) 2026 Edisi Melaka di Morten Walk, Melaka hari ini.
Pada masa sama, katanya, SME Bank dan Bank Rakyat turut komited memproses serta meluluskan permohonan pembiayaan sehingga RM1 juta dalam tempoh 14 hari.
Dalam perkembangan berkaitan, Sim menambah sehingga 31 Mei 2026, KUSKOP telah meluluskan pembiayaan berjumlah RM92 juta kepada lebih 4,300 usahawan di Melaka menerusi pelbagai agensi di bawah kementerian itu.
Di peringkat nasional pula, katanya, pembiayaan berjumlah RM5 bilion telah diluluskan setakat 31 Mei lalu, memberi manfaat kepada lebih 180,000 perusahaan di seluruh negara.
Beliau berkata menerusi inisiatif PowerUp10K, KUSKOP menyasarkan penyaluran pembiayaan sebanyak RM15 bilion kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh negara tahun ini.
Sementara itu, kenyataan sama memaklumkan Portal TEKUN Nasional dibangunkan sebagai platform digital sehenti yang membolehkan usahawan mendapatkan maklumat pembiayaan, membuat permohonan secara dalam talian, menyemak status permohonan, mengakses hebahan program dan latihan keusahawanan serta mendapatkan maklumat berkaitan pejabat TEKUN di seluruh negara.
Pelancaran portal berkenaan dilihat sebagai langkah memperkukuh agenda pendigitalan TEKUN Nasional dan inisiatif Birokrasi Dipermudahkan di bawah kerangka ABCD KUSKOP, sekali gus memudahkan rakyat mengakses maklumat, perkhidmatan dan pembiayaan keusahawanan dengan lebih cepat serta mesra pengguna.