Skip to main content

Malaysia

Puteri Diraja Perlis tamat Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela Tentera Darat

Istana Arau
Majlis Perbarisan Penutup kursus tersebut disempurnakan oleh Raja Muda Perlis yang juga berpangkat Brigedier Jeneral di Padang Boulevard, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra. - Gambar/ Istana Arau

PAUH PUTRA: Anakanda puteri kedua kepada Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail, berjaya menamatkan Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela (APMS) Tentera Darat Malaysia yang berlangsung di Universiti Malaysia Perlis dari 7 hingga 20 Jun lalu.

Majlis Perbarisan Penutup kursus tersebut disempurnakan oleh Raja Muda Perlis yang juga berpangkat Brigedier Jeneral di Padang Boulevard, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra.

Turut mengiringi baginda ialah Raja Puan Muda Perlis, Mejar (Kehormat) Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut berangkat pada majlis itu ialah Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail serta Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.

Sharifah Farah Adriana, 25, merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan daripada RMIT University di Melbourne, Australia dan memiliki Ijazah Sarjana Perniagaan Antarabangsa dari Monash University Malaysia.

Image
Istana Arau
Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail ketika menjalani latihan Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela (APMS) Tentera Darat Malaysia yang berlangsung dari 7 hingga 20 Jun 2026 di kawasan hutan Pauh Putra, Perlis. - Gambar/ Istana Arau

Dalam titah baginda, Tuanku Syed Faizuddin Putra menegaskan kejayaan menamatkan kursus APMS membuktikan bahawa tanggungjawab mempertahankan negara merupakan amanah bersama yang merentasi seluruh lapisan masyarakat.

Penglibatan institusi diraja dalam program berkenaan juga mencerminkan semangat kecintaan terhadap watan yang perlu dipupuk secara berterusan.

Baginda turut menekankan peranan utama Rejimen Askar Wataniah yang berteraskan konsep “To Raise, Train and Maintain”.

Menurut baginda, aspek “Raise” bukan sekadar menambah bilangan anggota, sebaliknya memastikan sumber manusia yang sesuai bersedia untuk diserap, manakala “Train” memberi penekanan kepada latihan berkualiti bagi membolehkan anggota beroperasi secara bersepadu dengan Angkatan Tetap.

Tambah baginda, aspek “Maintain” pula penting bagi memastikan tahap kesiapsiagaan anggota sentiasa berada pada tahap terbaik untuk tujuan penambahan kekuatan pada bila-bila masa.

Sehubungan itu, usaha mempromosikan penyertaan dalam Askar Wataniah akan terus dipergiat bagi menarik lebih ramai golongan muda yang berkelayakan untuk bersama-sama mempertahankan kedaulatan negara.

Majlis penutupan itu turut disekalikan dengan pelancaran Kokurikulum Askar Wataniah UniMAP dan dihadiri beberapa pegawai kanan tentera serta pengurusan universiti termasuk Naib Canselor UniMAP, Leftenan Kolonel Profesor Datuk Ts. Dr. Zaliman Sauli, Asisten Ketua Staf Bahagian Pasukan Simpanan, Mejar Jeneral Datuk Mohammad Razeif Che Ahmad dan Panglima Briged Ke-30 Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Datuk Mohd Zaini Hashim.

Topic Berkaitan

Must Watch Video

Advertisement