KUALA LUMPUR: Kemunculan sulung NONGSHIM sebagai penaja Big Stage Rocketfuel terbitan Astro telah menyuntik kelainan baharu pada musim ketujuh program realiti popular itu yang kini mendapat perhatian penonton.
Bersempena ulang tahun ke-40, penajaan tersebut dilihat sebagai langkah memperkukuhkan lagi kedudukan jenama ramyun nombor satu Korea itu di pasaran Malaysia bagi mencerminkan jenama itu terus berkembang seiring trend penglibatan syarikat korporat di kaca televisyen.
Bagi GBA Corporation Sdn. Bhd. yang merupakan pengedar eksklusif NONGSHIM di negara ini, pihaknya menyedari keperluan untuk mencipta inovasi penjenamaan bagi memenuhi kehendak pengguna yang kian berubah.
Pengurus Komersilnya, Foo Siew Kheng berkata, jenama produk kini beralih kepada penajaan program televisyen sebagai strategi pemasaran utama untuk meningkatkan keterlihatan jenama, membina kepercayaan pengguna dan memanfaatkan integrasi pemasaran digital.
Menurut beliau, sesuatu jenama menyasarkan program bersesuaian dengan demografi sasaran bagi mendapatkan pulangan pelaburan yang lebih berkesan di mana kini tidak lagi terhad kepada iklan komersial.
“Menerusi Big Stage Rocketfuel, NONGSHIM kini mahu mempamerkan nilai murni dan membina reputasi jenama produk yang positif di mata masyarakat sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara jenama makanan Korea paling berpengaruh di peringkat antarabangsa.
“Perkembangan ini sekali gus mencerminkan kekuatan jenama NONGSHIM dalam mendekati masyarakat menerusi program televisyen yang bukan sahaja tampil lebih dekat dengan golongan keluarga, malah menawarkan pengalaman menikmati makanan Korea yang autentik, berkualiti premium dan mudah disediakan,” katanya.
GBA Corporation Sdn Bhd adalah salah satu syarikat pengedaran dan pemasaran barangan pengguna bergerak cepat (FMCG) yang terkemuka di Malaysia.
Ditubuhkan pada 1987, syarikat ini bertanggungjawab memasarkan pelbagai jenama makanan dan minuman antarabangsa yang terkenal ke dalam pasaran tempatan.
Mengulas lanjut, Siew Kheng berkata, Big Stage Rocketfuel menjadi pilihan NONGSHIM kerana kembali dengan musim baharu yang lebih berani dengan menampilkan barisan bintang baharu dan menggegarkan pentas dengan persembahan penuh impak, sambil berdepan cabaran sengit setiap minggu.
Kata beliau, selari dengan kekuatan jenama ikonik nombor satu Korea, SHIN Ramyun, program popular itu memburu peserta yang paling menyerlah, asli dan konsisten untuk kekal di puncak.
“Seperti SHIN Ramyun yang kekal menjadi pilihan utama peminat makanan Korea selama empat dekad, kami mahu melihat bakat yang bukan sekadar hangat seketika, tetapi mampu bertahan, kekal asli dan terus relevan dalam industri.
“Semangat inilah yang menghubungkan NONGSHIM dengan Big Stage Rocketfuel, kedua-duanya meraikan kualiti, ketulenan dan keberanian untuk terus berada di puncak,” katanya.
Bermula 28 Jun lalu setiap Ahad malam, pentas Big Stage Rocketfuel membuka peluang untuk mencari bintang solo atau duo paling menyerlah.
Bukan sahaja berbakat, tetapi memiliki identiti dan daya tahan untuk mendominasi industri muzik.
Barisan peserta musim ini kini menampilkan Qilo, Yad-Z, Ranisha, Adam & Nazmie, Danial Kifli, Sufie Rose, Aliff Kimiey, Danny dan Hussain yang bersedia memberikan persembahan terbaik demi merebut gelaran juara selepas Rieffa dan Sabrina tersingkir.
Big Stage Rocketfuel diacarakan oleh Nabil Ahmad bersama Azeva yang sebelum ini merupakan finalis program Talk To My Manager S2.
Barisan juri tetap setiap minggu pula terdiri daripada Akim Ahmad, Aisha Retno dan Hael Husaini yang memainkan peranan penting dalam menentukan perjalanan peserta melalui sistem penilaian 100 peratus berdasarkan keputusan juri.