Skip to main content

Malaysia

Syed Saddiq berjaya tamat Larian Kesyukuran 170km Putrajaya - Muar

Syed Saddiq meneruskan lariannya pada hari ketiga.Sinar Harian
Syed Saddiq menamatkan Larian Kesyukuran sejauh hampir 170 kilometer yang bermula dari Putrajaya dan berakhir di Laman Maharani, Muar, Johor, pada Ahad.

KUALA LUMPUR: Syed Saddiq Syed Abd Rahman menamatkan Larian Kesyukuran sejauh hampir 170 kilometer yang bermula dari Putrajaya dan berakhir di Laman Maharani, Muar, Johor, pada Ahad.

Ahli Parlimen Muar itu tiba di lokasi penamat sekitar jam 9.15 pagi selepas menyempurnakan larian terakhir sejauh 17 kilometer dari Simpang Sungai Rambai.

Syed Saddiq memulakan larian pada jam 7 pagi sebelum meneruskan perjalanan bersama beberapa kumpulan pelari untuk menuju ke garisan penamat.

Kehadiran beliau disambut ribuan warga Muar yang mula berkumpul seawal jam 8 pagi, selain sorakan "Hidup Muar" dan "Tahniah YB" daripada para penyokong.

Larian yang mengambil masa lebih dua jam pada peringkat terakhir itu merupakan sebahagian daripada misi yang dimulakan pada 16 Julai (Khamis) lalu dari pekarangan Istana Kehakiman, Presint 3, Putrajaya, dengan laluan merentasi Negeri Sembilan dan Melaka sebelum tiba di Muar.

Menurut Syed Saddiq, inisiatif berkenaan bukan sahaja bertujuan mengumpul dana kebajikan untuk penduduk di kawasan Parlimen Muar, malah menjadi tanda kesyukuran selepas beliau melalui proses perundangan dan dibebaskan daripada pertuduhan di mahkamah.

Dana yang berjaya dikumpulkan akan digunakan bagi dua tujuan utama, iaitu menyediakan bakul makanan kepada keluarga yang memerlukan serta membeli iPad untuk membantu pelajar mendapatkan akses kepada peranti pembelajaran.

Sehingga Sabtu, kempen itu berjaya mengumpul RM361,848 dalam tempoh dua hari, melebihi sasaran awal sebanyak RM200,000.

Pada 13 Julai lalu, Mahkamah Persekutuan membebaskan Syed Saddiq daripada dua pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, satu pertuduhan menyalahgunakan harta dan dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) BERSATU.

Must Watch Video

Advertisement