KUALA LUMPUR: Pengguna media sosial Facebook di seluruh dunia, termasuk Malaysia dilaporkan mengalami kesukaran untuk mengakses akaun serta menggunakan fungsi utama platform berkenaan.
Gangguan yang bermula kira-kira 3 petang waktu tempatan itu menyaksikan pengguna berdepan masalah untuk log masuk, selain gagal memuat semula paparan suapan (feed) masing-masing terutama ketika menggunakan peranti selain telefon pintar.
Semakan Bernama menerusi platform X dan Threads mendapati rata-rata pengguna berkongsi tangkap layar notis gangguan sistem yang memaparkan mesej “Your account is currently unavailable due to a site issue. We expect this to be resolved shortly. Please try again in a few minutes”. (Akaun anda tidak dapat diakses buat masa ini disebabkan isu pada laman web. Kami menjangkakan isu ini akan diselesaikan dalam masa yang singkat. Sila cuba lagi dalam beberapa minit).
Seorang pengguna X, David Liew, menerusi hantaran di platform itu mengesahkan masalah berkenaan dengan menyatakan: “Facebook down….again…19 Julai 2026 Malaysia Time 3.56pm.” (Facebook alami gangguan… sekali lagi… 19 Julai 2026 3:56 petang (waktu Malaysia).
Seorang lagi pengguna dengan nama akaun @aldreichd pula memaklumkan gangguan berkenaan hanya berlaku ketika mengakses Facebook menerusi komputer, manakala aplikasi itu masih boleh digunakan seperti biasa melalui telefon pintar.
Sementara itu, laman pemantauan gangguan perkhidmatan dalam talian, Downdetector, turut merekodkan lonjakan laporan secara mendadak daripada pengguna berhubung masalah akses Facebook bermula petang ini.
Menurut data laman berkenaan, antara masalah utama yang dilaporkan termasuk kegagalan memuat naik foto dan video, serta gangguan fungsi penghantaran mesej menerusi aplikasi Messenger.
Selain di Malaysia, laporan media antarabangsa turut menyatakan aduan berkaitan gangguan platform milik syarikat Meta itu meningkat sekitar 10.39 pagi waktu Timur Amerika Syarikat dengan jumlah laporan melebihi 4,000 aduan dalam tempoh singkat.
Setakat berita ini ditulis (5 petang), Meta belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung punca gangguan atau tempoh masa pemulihan perkhidmatan tersebut.
-- BERNAMA