Skip to main content

Dunia

Syria gesa tindakan antarabangsa selepas dakwaan operasi Israel di Quneitra

[TB]_Kenderaan Tentera Israel Ceroboh Quneitra_BERNAMA via SANA
Lima kenderaan ketenteraan Israel dilaporkan memasuki kawasan al-Samdaniyah al-Sharqiyah pada Sabtu. -Foto SANA

DAMSYIK: Syria mengecam tindakan tentera Israel yang didakwa melancarkan serbuan darat baharu di kawasan luar bandar Quneitra, selatan negara itu, dalam tempoh dua hari lalu.

Menurut agensi berita rasmi Syria, SANA, lima kenderaan ketenteraan Israel dilaporkan memasuki kawasan al-Samdaniyah al-Sharqiyah pada Sabtu.

 

 

Laporan itu menyebut bahawa pasukan tentera berkenaan mendirikan pusat pemeriksaan sementara dan memeriksa penduduk yang melalui kawasan tersebut.

Pada hari sama, tentera Israel yang ditempatkan di al-Hamidiyah dilaporkan melepaskan peluru mortar serta bom asap ke kawasan berhampiran.

Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Terdahulu, pada Jumaat malam, SANA melaporkan enam kenderaan ketenteraan Israel bergerak ke kawasan berhampiran Empangan Koudna dengan sokongan pemantauan dron sebelum berundur dari lokasi berkenaan.

Kerajaan Syria menyifatkan tindakan tersebut sebagai pelanggaran terhadap Perjanjian Pengunduran Tentera 1974 yang dimeterai antara kedua-dua pihak.

Sehubungan itu, Damsyik menggesa komuniti antarabangsa mengambil tindakan bagi mendesak Israel menghentikan operasi ketenteraan yang didakwa berlaku di wilayah selatan Syria serta berundur dari kawasan berkenaan.

 

Must Watch Video

Advertisement