Skip to main content

Malaysia

Semakin ramai rakyat Malaysia guna AI untuk beli-belah, namun masih ragu benarkan pembelian

61731082054_onlineshopping.jpg
Aspek keselamatan sentiasa menjadi kebimbangan utama pengguna, malah sebelum AI digunakan secara meluas dalam pengalaman membeli-belah. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan pengguna Malaysia semakin meluas bagi membantu urusan membeli-belah, namun tahap keyakinan terhadap teknologi itu untuk melaksanakan transaksi secara automatik masih rendah, menurut tinjauan yang diterbitkan platform teknologi kewangan (fintech), Adyen.

Laporan Indeks Runcit Malaysia 2026 Adyen mendapati kira-kira 74 peratus rakyat Malaysia menggunakan AI bagi membantu urusan membeli-belah, namun 52 peratus masih kurang selesa membenarkan teknologi itu melengkapkan pembelian bagi pihak mereka.

Pengurus Negara Adyen Malaysia Soon Yean Lee berkata AI kini semakin mengubah cara rakyat Malaysia membeli-belah, namun peralihan daripada pengalaman membeli-belah yang dibantu AI kepada perdagangan menggunakan ejen AI masih belum meluas.

Ini kerana katanya aspek keselamatan sentiasa menjadi kebimbangan utama pengguna, malah sebelum AI digunakan secara meluas dalam pengalaman membeli-belah.

"Bukan hanya keselamatan data, malah kualiti produk, tahap keyakinan ketika berurusan dengan khidmat pelanggan serta perkhidmatan selepas jualan turut mempengaruhi rasa selamat pengguna," katanya pada taklimat media di sini hari ini.

Soon berkata keterjaminan pembayaran memainkan peranan penting dalam membina keyakinan pengguna apabila menurut tinjauan itu juga mendapati 59 peratus pengguna berpendapat bahawa kesilapan dalam urusan pembayaran memberi persepsi negatif terhadap sesuatu jenama.

Sementara itu, 26 peratus responden turut menyatakan mereka akan membatalkan pembelian dan tidak lagi kembali kepada peruncit berkenaan selepas berdepan masalah pembayaran, katanya.

Soon berkata keadaan itu berlaku kerana pengguna yang menghadapi masalah pembayaran dengan sesebuah peruncit lazimnya akan beralih kepada peruncit lain untuk mendapatkan produk yang sama.

"Contohnya, jika saya ingin membeli kasut Nike atau On Running, saya mempunyai banyak pilihan kerana produk itu dijual oleh pelbagai peruncit. Saya tetap akan membelinya, tetapi mungkin bukan daripada peruncit yang menghadapi masalah pembayaran itu," kata beliau.

Tinjauan itu turut mendapati 47 peratus pengguna sudah menggunakan pengesahan biometrik seperti Face ID ketika membeli-belah, manakala 24 peratus berkata mereka lebih yakin terhadap peruncit yang menggunakan pengesahan berbilang faktor.

"Terdapat tahap keselesaan tertentu apabila pengguna mengetahui terdapat semakan keselamatan tambahan kerana ia meningkatkan kepercayaan mereka terhadap sesuatu jenama," katanya.

Dari sudut peruncit, Soon berkata 85 peratus peruncit di Malaysia yang menyertai tinjauan itu sudah mengetahui konsep perdagangan ejen AI, iaitu penggunaan ejen AI yang boleh melengkapkan urusan pembelian bagi pihak pengguna, manakala 47 peratus merancang melabur dalam teknologi tersebut.

Bagaimanapun, beliau berkata peruncit masih berhati-hati apabila 43 peratus menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan kehilangan hubungan secara langsung dengan pelanggan sekiranya AI semakin berperanan sebagai orang tengah dalam urus niaga.

Laporan Indeks Runcit Malaysia 2026 Adyen adalah berdasarkan tinjauan dalam talian oleh Adyen dan dijalankan syarikat penyelidikan pasaran serta analitik data antarabangsa, YouGov, dari Mac hingga April 2026.

Tinjauan itu melibatkan 1,031 pengguna di Malaysia berusia 18 tahun ke atas serta 314 kakitangan kanan sektor peruncitan daripada syarikat peruncitan yang mencatat perolehan tahunan sekurang-kurangnya RM75 juta.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement