GEORGE TOWN: Pulau Pinang melancarkan pakej pelancongan berasaskan durian pertama di Hong Kong, dalam usaha memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelancongan antarabangsa serta mempromosikan pengalaman menikmati durian yang menjadi identiti negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai berkata inisiatif hasil kerjasama pejabat Tourism Malaysia di Hong Kong, Penang Global Tourism (PGT) dan Wing On Travel itu bertujuan menarik lebih ramai pelancong dari Hong Kong menerusi pakej pelancongan yang dibangunkan khusus berasaskan industri durian Pulau Pinang yang terkenal.
“Hong Kong kekal sebagai antara pasaran pelancong antarabangsa utama bagi Pulau Pinang, dengan pelawat dari wilayah itu terkenal kerana minat mereka terhadap pengalaman gastronomi, warisan budaya dan aktiviti pelancongan bersifat imersif. Kerjasama ini merupakan satu pencapaian penting bagi industri pelancongan Pulau Pinang.
“Buat kali pertamanya kami mengetengahkan satu daripada tarikan bermusim paling ikonik di negeri ini iaitu durian yang terkenal di peringkat dunia sebagai produk pelancongan khas direka khusus untuk pasaran Hong Kong,” katanya dalam kenyataan bersempena dengan pelancaran pakej itu di Hong Kong hari ini.
Wong berkata sektor pelancongan durian di Pulau Pinang kini berkembang melangkaui aktiviti menikmati buah itu semata-mata, sebaliknya muncul sebagai produk pelancongan berasaskan pengalaman yang menggabungkan gastronomi, alam semula jadi dan budaya tempatan.
Menurutnya, pelancong kini semakin gemar mencari pengalaman unik seperti bufet durian dan aktiviti pelancongan desa di Balik Pulau, satu-satunya kawasan di Malaysia yang mengusahakan tanaman durian di sebuah pulau.
Beliau berkata pakej baharu Penang Culinary and Sightseeing Durian Feast Tour yang diperkenalkan itu menawarkan pengalaman selama lima hari merangkumi penginapan mewah, sesi menikmati duiran tanpa had, lawatan ke dusun durian serta kunjungan ke beberapa lokasi tarikan utama di Pulau Pinang.
Wong berkata inisiatif berkenaan juga selari dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Beliau berkata kerjasama berterusan antara PGT dan Tourism Malaysia dijangka mampu meningkatkan ketibaan pelancong dari Hong Kong, sekali gus mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai antara destinasi pelancongan berasaskan pengalaman terkemuka di Asia.
-- BERNAMA