Skip to main content

Malaysia

Peranan guru semakin terbatas punca kes buli meningkat – Zulkifli

Sumber: Sinar Harian
Menurut Zulkifli, kes buli yang semakin membimbangkan bukan sahaja meninggalkan trauma serta menghakis keyakinan diri mangsa, malah terdapat kes yang meragut nyawa. - Foto Sinar Harian

SHAH ALAM: Peranan guru yang semakin terbatas untuk bertindak dan mendidik dikenal pasti sebagai antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan kes buli.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, peranan guru perlu dikembalikan kepada kedudukannya yang sebenar agar mereka dapat membimbing, menegur dan membentuk sahsiah pelajar dengan lebih berkesan.

“Guru wajib dihormati, namun pada masa yang sama perlu dipandu oleh agama, akhlak, undang-undang dan kebijaksanaan serta sentiasa terbuka untuk menerima teguran.

“Apabila guru hilang kewibawaan, sekolah kehilangan tiangnya. Apabila guru takut menegur, murid kehilangan bimbingan,” katanya menerusi hantaran di media sosial pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu buli menerusi siri Mauqif bertajuk ‘Isu Buli: Saatnya Kita Kembalikan Roh Pendidikan’.

Menurut Zulkifli, kes buli yang semakin membimbangkan bukan sahaja meninggalkan trauma serta menghakis keyakinan diri mangsa, malah terdapat kes yang meragut nyawa.

Katanya, keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila terdapat pembuli yang menganggap perbuatan mereka sekadar gurauan, sedangkan Islam menganggap setiap ejekan, penghinaan dan perbuatan yang menyakiti orang lain sebagai satu bentuk kezaliman.

Bagi mengukuhkan pandangannya, beliau turut berkongsi kisah ulama tersohor, Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya'rawi yang menceritakan pengalamannya ketika kecil dihantar oleh bapanya ke halaqah al-Quran untuk menghafaz al-Quran.

Menurut beliau, al-Sya'rawi pernah menceritakan bahawa hanya dengan melihat rotan yang tergantung di hadapan kelas sudah cukup untuk menimbulkan rasa gerun, sekali gus mendorongnya belajar bersungguh-sungguh tanpa mengenal penat atau malas.

Sehubungan itu, Zulkifli berharap nukilan berkenaan dapat menjadi cetusan fikiran dalam memperkukuh usaha menangani gejala buli secara lebih menyeluruh, bersepadu serta berteraskan adab dan nilai pendidikan. - Sinar Harian

 

Must Watch Video

Advertisement