MELBOURNE: Penduduk di seluruh Australia terjejas akibat gangguan rangkaian mudah alih terbesar negara itu pada pagi Rabu yang memberi kesan pada perkhidmatan kereta api, platform pembayaran dan sambungan data, lapor Xinhua.
Telstra, syarikat telekomunikasi terbesar Australia, berkata dalam satu kenyataan pada pagi Rabu, pihaknya sedang meneliti isu yang menjejaskan beberapa panggilan mudah alih dan sambungan data serta akan berkongsi perkembangan apabila masalah itu diatasi.
Telstra menyediakan 24.9 juta perkhidmatan mudah alih setakat 2025.
Bercakap kepada pemberita di Melbourne, Ketua Pegawai Kewangan Telstra Michael Ackland berkata isu yang menjejaskan nod yang mengekalkan masa merentasi rangkaian mudah alih telah dikenal pasti sekitar 4:30 pagi Waktu Piawai Timur Australia pada Rabu.
"Apabila nod ini tidak beroperasi seperti yang dijangkakan, itulah yang telah berlaku, bahagian rangkaian lain boleh terjejas, mengakibatkan isu (sambungan) terputus-putus pada beberapa panggilan mudah alih dan sesi data," katanya.
"Kami belum tahu puncanya. Kami sedang menyiasat perkara itu dengan segera."
Gangguan telah menyebabkan gangguan meluas terhadap rangkaian kereta api dan platform pembayaran yang menggunakan rangkaian Telstra.
Semua perkhidmatan rel serantau di negeri tenggara Victoria, lokasi ibu pejabat Telstra, dihentikan sementara pada Rabu manakala beberapa perkhidmatan di negara jiran New South Wales (NSW) turut terjejas.
Pengendali perkhidmatan di Victoria, VLine, dalam notis yang disiarkan pada laman webnya memaklumkan tiada anggaran masa untuk baik pulih.
Biro Meteorologi (BoM) juga menyatakan beberapa pemerhatian cuaca tidak tersedia kerana "kesalahan vendor luar" dan Commonwealth Bank, bank terbesar Australia, berkata beberapa terminal pembayarannya mungkin tidak dapat disambungkan ke rangkaian Telstra.
Menurut perkhidmatan kecemasan di NSW dan Australia Barat (WA), gangguan itu telah menjejaskan beberapa panggilan ke nombor telefon kecemasan negara, Triple Zero. "Sistem Triple Zero tidak terjejas, tetapi anda mungkin tidak dapat mencapai Triple Zero jika anda membuat panggilan daripada peranti Telstra," kata Pasukan Polis NSW, mengesyorkan agar pelanggan Telstra menggunakan peranti lain.
Telstra pada 2024 didenda A$3 juta (US$2.1 juta) kerana gagal mematuhi peraturan panggilan kecemasan semasa rangka ian terputus.
-- BERNAMA-XINHUA