Skip to main content

Dunia

Meta diarah sambung rundingan dengan media Perancis berhubung yuran penerbitan

FILE PHOTO: Cars drive past a sign of Meta, the new name for the company formerly known as Facebook, at its headquarters in Menlo Park, California, U.S. October 28, 2021. REUTERS/Carlos Barria/File Photo
Pihak berkuasa itu menyatakan bahawa Meta berkemungkinan menyalahgunakan kedudukan dominannya dan mengarahkan syarikat induk Facebook itu mengemukakan butiran pelan pembayarannya dalam tempoh 15 hari. - Gambar fail/Reuters

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa persaingan Perancis pada Rabu mengarahkan Meta Platforms mengemukakan pelan pembayaran dan menyambung semula rundingan dengan kumpulan media di negara itu yang menuntut pembayaran yuran bagi penggunaan kandungan mereka dalam talian yang belum dijelaskan selama setahun.

Kes itu merupakan antara pertikaian yang semakin meningkat antara syarikat penerbit dan syarikat teknologi berhubung penggunaan kandungan terbitan mereka di media sosial atau bagi latihan kecerdasan buatan (AI), sehingga mencetuskan tindakan undang-undang.

Aduan yang difailkan oleh persatuan media Perancis DVP dan APIG mendakwa Meta cuba mengenakan kaedah pengiraannya sendiri bagi menentukan yuran penggunaan semula kandungan menerusi perkhidmatannya, selain enggan memberikan maklumat yang diperlukan bagi membolehkan mereka menilai bayaran yang sewajarnya diterima.

Pihak berkuasa itu menyatakan bahawa Meta berkemungkinan menyalahgunakan kedudukan dominannya dan mengarahkan syarikat induk Facebook itu mengemukakan butiran pelan pembayarannya dalam tempoh 15 hari.

Dalam satu kenyataan, Meta memaklumkan, ia tidak bersetuju dengan keputusan pihak berkuasa persaingan itu, namun, akan memberi kerjasama dalam proses berkenaan.

"Kami tetap komited untuk mencapai persetujuan yang adil dengan DVP dan APIG, dan berharap keputusan ini akan membolehkan pihak penerbit turut berunding dengan niat baik," menurut kenyataan Meta yang dihantar menerusi e-mel.

Kumpulan hak media DVP, yang dianggotai akhbar Le Monde dan Les Echos, menyatakan pihaknya berpuas hati dengan keputusan itu serta menyambut baik rundingan yang disambung semula.

Pertikaian itu tertumpu kepada hak-hak berkaitan, yang di bawah peraturan Kesatuan Eropah (EU) membolehkan media cetak menuntut bayaran bagi penggunaan digital kandungan mereka.

Perancis berusaha menguatkuasakan peraturan EU itu secara tegas, sehingga menyebabkan syarikat teknologi, khususnya Google milik Alphabet, dikenakan denda yang besar dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Pihak berkuasa persaingan itu menyatakan, ia tidak mendenda Meta dalam kes ini kerana tidak mahu rundingan itu terikat kepada jumlah yang akhirnya ditentukan oleh pihak berkuasa.

Perjanjian terdahulu antara Meta dengan persatuan media DVP dan APIG tamat pada 2024, dan kedua-dua pihak sejak itu gagal mencapai persetujuan mengenai jumlah bayaran yang perlu dijelaskan, menyebabkan media Perancis tidak menerima sebarang bayaran sejak 2025.

Menurut pihak berkuasa itu, keadaan berkenaan menyebabkan anggota DVP dan APIG mengalami kerugian kewangan walaupun kandungan berita mereka terus diedarkan menerusi perkhidmatan Meta.

-- REUTERS

Must Watch Video

Advertisement