Skip to main content

Dunia

Mesir sambung kontrak Hossam Hassan hingga 2030 selepas cemerlang di Piala Dunia

Soccer Football - FIFA World Cup 2026 - Round of 16 - Argentina v Egypt - Atlanta Stadium, Atlanta, Georgia, U.S. - July 7, 2026 Egypt coach Hossam Hassan before the match IMAGN IMAGES via Reuters/Nathan Ray Seebeck
Persatuan Bola Sepak Mesir (EFA) mengumumkan kontrak ketua jurulatih skuad kebangsaan, Hossam Hassan, disambung susulan prestasi memberangsangkan pasukan itu dalam kempen Piala Dunia. - Gambar Reuters

KAHERAH: Persatuan Bola Sepak Mesir (EFA) mengumumkan kontrak ketua jurulatih skuad kebangsaan, Hossam Hassan, disambung susulan prestasi memberangsangkan pasukan itu dalam kempen Piala Dunia.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, Presiden EFA, Hany Abo Rida memaklumkan, lembaga persatuan telah meluluskan lanjutan kontrak Hassan serta pengarah pasukan, Ibrahim Hassan.

“Presiden EFA, Hany Abo Rida mengumumkan bahawa lembaga persatuan telah meluluskan pembaharuan kontrak ketua jurulatih pasukan kebangsaan Mesir, Hossam Hassan, dan pengarah pasukan, Ibrahim Hassan,” menurut kenyataan itu.

Hassan, 59, dilantik mengendalikan Mesir pada Februari 2024 dan berjaya membawa pasukan itu mara ke separuh akhir Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2025.

Sebelum ini, Hassan mendedahkan, beliau mengendalikan skuad kebangsaan tanpa kontrak rasmi sejak Februari 2026.

Di bawah kendaliannya, Mesir mencatat kemenangan pertama mereka di pentas Piala Dunia apabila menewaskan New Zealand 3-1 dalam aksi Kumpulan G.

Pasukan itu kemudian mengatasi Australia menerusi penentuan sepakan penalti pada pusingan 32 terbaik, sekali gus mencatat kemenangan pertama mereka dalam saingan kalah mati kejohanan tersebut.

Namun, perjalanan Mesir terhenti selepas tewas 3-2 kepada juara bertahan, Argentina, dalam usaha memburu tempat ke suku akhir.

Menurut laporan media tempatan, kontrak baharu Hassan dijangka berkuat kuasa sehingga tahun 2030. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement