GENEVA: Pemimpin Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) pada Rabu menegaskan semula komitmen "tidak berbelah bahagi" terhadap pertahanan kolektif dan perpaduan pakatan, dengan mengisytiharkan bahawa "serangan terhadap satu anggota dianggap sebagai serangan terhadap semua anggota" menerusi deklarasi sidang kemuncak yang diterima pakai di Ankara, Turkiye, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Deklarasi Sidang Kemuncak Ankara menyatakan negara anggota kekal komited terhadap Artikel 5 Perjanjian Washington, hubungan transatlantik serta pendekatan pertahanan dan pencegahan ancaman dari semua arah.
Deklarasi itu turut menyifatkan "perpaduan, solidariti dan kekuatan kolektif" sebagai asas kepada keamanan, keselamatan dan kemakmuran bagi satu bilion penduduk di negara anggota pakatan itu.
Dengan menyifatkan Rusia sebagai ancaman jangka panjang terhadap keselamatan Euro-Atlantik dan keganasan sebagai cabaran berterusan, negara anggota memaklumkan bahawa negara anggota Eropah dan Kanada meningkatkan pelaburan dalam keperluan pertahanan utama melebihi AS$139 bilion tahun lalu.
Pemimpin turut mengumumkan perolehan baharu aset pertahanan bernilai lebih AS$50 bilion serta komited memperluas kapasiti pengeluaran pertahanan secara bersama, mempercepat inovasi bersama industri dan menghapuskan halangan perdagangan pertahanan antara negara anggota.
Mereka juga berikrar untuk terus melabur dalam keupayaan ketenteraan moden, termasuk sistem serangan tepat jarak jauh, pertahanan udara dan peluru berpandu bersepadu, sistem tanpa pemandu, keupayaan risikan, keupayaan angkasa lepas dan siber, selain membangunkan sistem pengkomputeran awan peperangan transatlantik yang saling beroperasi serta mengguna pakai model kecerdasan buatan (AI).
Mengenai Ukraine, NATO berkata negara anggota kekal bersatu dalam memberikan sokongan "tidak berbelah bahagi" terhadap kebebasan, kedaulatan dan keutuhan wilayah negara itu.
Mereka turut berjanji menyalurkan bantuan ketenteraan, latihan dan kelengkapan bernilai €70 bilion (AS$80 bilion) pada 2026, selain mengekalkan sekurang-kurangnya tahap komitmen yang sama pada 2027.
Deklarasi itu juga mengalu-alukan Pinjaman Sokongan Ukraine pelbagai tahun oleh Kesatuan Eropah (EU).
Negara anggota turut mengulangi pendirian bahawa Iran "tidak boleh sama sekali memiliki senjata nuklear" dan menggesa Tehran menghormati sepenuhnya kebebasan pelayaran di Selat Hormuz sebelum mengucapkan penghargaan kepada Turkiye kerana menjadi tuan rumah sidang kemuncak bersejarah itu.
-- BERNAMA-ANADOLU