SHAH ALAM: Hasil siasatan awal mendapati suspek kes tikam di sebuah sekolah menengah di Banting dipercayai menyimpan perasaan tidak puas hati terhadap beberapa individu yang didakwa pernah membulinya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, bagaimanapun, setakat ini keterangan yang diperoleh belum menunjukkan wujudnya kejadian buli seperti yang didakwa.
"Hasil siasatan awal peringkat ini, kita mendapati alasan diberikan adalah berkaitan dengan rasa tidak puas hati ataupun boleh dikatakan memendam perasaan suspek terhadap beberapa individu rakan sekolahnya yang dikatakan membuli suspek tersebut.
"Namun, hasil daripada keterangan yang diberi tidak menjurus kepada berlakunya aktiviti buli tersebut," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini pada Khamis.
Shazeli berkata, banyak rakaman percakapan telah diambil, ia termasuk 10 pelajar yang namanya tular di media sosial dan dikaitkan dengan kes berkenaan.
"Siasatan berhubung kes tikaman itu masih berjalan dan belum selesai sepenuhnya, Jadi saya minta beri ruang kepada pegawai penyiasat membuat siasatan sepenuhnya dan dapat membuat kesimpulan secara menyeluruh," katanya.
Mengulas keadaan mangsa, Shazeli berkata, pelajar berkenaan kini berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan serta menjalani proses pemulihan di hospital.
"Temu bual terhadap mangsa juga telah dijalankan," katanya.
Ketika ditanya sama ada tindakan suspek dipengaruhi hantaran media sosial berunsur jenayah, Shazeli menegaskan, siasatan masih dijalankan termasuk daripada aspek itu yang dipercayai boleh mempengaruhi minda dan kelakuan suspek.
"Apa jenis video media sosial itu saya tidak boleh kongsikan kerana masih lagi dalam siasatan dari polis," jelasnya.
Media sebelum ini melaporkan beberapa keping surat dipercayai milik remaja perempuan berusia 15 tahun yang juga suspek kes tikam di sebuah sekolah di sini tular di media sosial.
Tinjauan Sinar Harian beberapa akaun media sosial Threads mendapati surat-surat terbabit mula dimuat naik sejak insiden itu berlaku.
Difahamkan surat atau nota itu berkisarkan tentang diri suspek serta beberapa individu.
Dalam insiden kira-kira jam 9.30 pagi pada Isnin, seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga cedera di beberapa anggota badan selepas dipercayai ditikam suspek di kawasan sekolah dengan senjata pisau.
Suspek yang dikatakan tidak hadir ke sekolah sejak beberapa bulan lalu kerana rawatan kesihatan dipercayai memasuki sekolah melalui laluan utama.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi dilaporkan berkata, suspek telah direman empat hari sehingga Jumaat untuk siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan. -Sinar Harian