WATAK kecerdasan buatan (AI) kontroversi, Tilly Norwood, bakal membintangi filem cereka pertamanya menerusi naskhah komedi-drama berjudul "Misaligned", lapor Amanz.
Filem itu digambarkan sebagai kisah pendewasaan diri yang dipenuhi kekacauan eksistensial AI dan berlatarbelakangkan dunia maya dikenali sebagai Tillyverse.
Menurut sinopsis yang dikongsi Particle6, Tilly merupakan entiti AI tanpa tubuh, identiti dan pengalaman hidup sendiri, namun mempunyai akses kepada pengalaman manusia lain.
Keadaannya mula berubah apabila dia dipengaruhi bot daripada dark web untuk membangunkan keinginan dan cita-cita sendiri.
Penglibatan Tilly sebagai watak utama dijangka menghidupkan semula perdebatan mengenai peranan AI dalam industri hiburan serta masa depan profesion lakonan di Hollywood.
Bagaimanapun, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Particle6, Eline van der Velden menegaskan projek itu bukan bertujuan menggantikan pelakon manusia, tetapi menunjukkan bagaimana teknologi AI boleh digunakan sebagai alat kreatif dalam penghasilan karya.
Menurut Particle6, filem itu akan dibangunkan menerusi model produksi hibrid yang menggabungkan pengarah, penulis, editor, pereka kostum dan komposer bersama pakar AI bagi menilai bagaimana kemahiran kreatif tradisional boleh digabungkan dengan teknologi baharu.
Tahun lalu, pengenalan Tilly Norwood mencetuskan bantahan daripada sebahagian penggiat industri hiburan dan kesatuan pelakon yang menyuarakan kebimbangan mengenai kesan AI terhadap peluang pekerjaan serta nilai seni persembahan manusia.