Skip to main content

Malaysia

Astro Shaw promosi filem Terbang di Art of Speed 2026

Art of Speed 2026
Dari kiri: Ketua Pegawai Operasi MAEPS, Muhammad Hazwan Hussein, Pengarah Festival AOS, Asep Ahmad Iskandar dan Penolong Pengurus Acara & Pelancongan Fokus Harith Hadziq. - Gambar Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Art of Speed (AOS) Malaysia 2026 menjalinkan kerjasama strategik bersama Astro Shaw menerusi promosi filem terbaharu, Terbang, sekali gus mengukuhkan sinergi antara industri automotif, hiburan dan perfileman tempatan.

Pengunjung yang hadir ke AOS 2026 berpeluang menyertai pelbagai aktiviti interaktif, sesi bertemu barisan pelakon termasuk legenda rali negara, Karamjit Singh, selain melihat pameran eksklusif jentera utama yang dipaparkan dalam filem berkenaan.

Festival Kustom & Counter Culture terbesar negara itu akan berlangsung di Malaysia Agro Exposition Park, Serdang (MAEPS) pada 1 dan 2 Ogos depan dengan tema "Summer Festival – Kustom Bergaya", menghimpunkan pameran automotif, muzik dan gaya hidup dalam satu platform.

Selain kerjasama bersama Astro Shaw, AOS 2026 turut menampilkan lebih 10 kolaborasi strategik bersama jenama tempatan dan antarabangsa termasuk Liberty Walk, Hot Wheels, Touch 'n Go dan Zippo.

Festival itu turut dimeriahkan dengan kehadiran nama besar dunia budaya kustom seperti Wataru Kato dari Liberty Walk, Emi Suganuma dari MOONEYES, Ronald Wong selaku Ketua Pereka Produk Hot Wheels Premium serta Mark Kirkland daripada DicE Magazine, Amerika Syarikat.

SoundCircus Festival 2026 pula bakal mencipta rekod dengan enam pentas persembahan yang menampilkan artis terkenal seperti Ella x Cokelat, Sheila Majid, Nadin Amizah, Disagree, Tenxi dan Hari Slatan, selain meraikan ulang tahun ke-20 Hujan serta penghormatan khas 30 Tahun Asian Hardcore.

Pengarah Festival Art of Speed Malaysia, Asep Ahmad Iskandar berkata penganjuran tahun ke-15 itu mencerminkan aspirasi menjadikan AOS sebagai festival bertaraf dunia yang menggabungkan budaya automotif, muzik dan kreativiti dalam satu pengalaman unik.

"Edisi tahun ini melambangkan realisasi kepada sebuah impian yang lama dipendam, memayungi sebuah festival bertaraf dunia yang menyatukan kelestarian gaya hidup automotif dan kemuncak festival muzik langsung secara harmoni," kata Asep.

Orang ramai dijemput hadir ke MAEPS, Serdang pada 1 dan 2 Ogos ini untuk merasai sendiri pengalaman festival yang menggabungkan dunia kustom, muzik, gaya hidup serta sinergi eksklusif Astro Shaw menerusi filem Terbang.

Tiket boleh didapati menerusi laman rasmi Art of Speed, manakala maklumat lanjut boleh diikuti di saluran media sosial rasmi festival itu.

Must Watch Video

Advertisement