BANGI: Aidiladha membawa makna yang cukup besar buat umat Islam bukan sahaja sebagai simbol pengorbanan, tetapi juga waktu untuk berkongsi rezeki, mengeratkan silaturahim dan menyantuni masyarakat tanpa mengira latar belakang.
Bersempena sambutan itu, syarikat pengeluar makanan, Rempah Faiza meneruskan semangat kebersamaan menerusi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), Korban Kasih Aidiladha yang menghimpunkan komuniti setempat melalui aktiviti penyembelihan korban, gotong-royong memasak dan agihan hidangan percuma kepada penduduk sekitar.
Program tersebut bermula seawal pagi dengan pelbagai pengisian termasuk penyediaan juadah, agihan daging korban serta aktiviti bersama komuniti dalam suasana penuh muafakat dan semangat kekeluargaan.
Pengarah Urusan Halaspice Manufacturing Sdn. Bhd., Najwa Abu Bakar berkata, selain menghidupkan amalan berkorban sempena Aidiladha, program itu turut menjadi medium untuk mendekatkan Rempah Faiza dengan masyarakat menerusi pendekatan yang lazim dengan budaya dan kehidupan rakyat.
“Sebagai jenama tempatan, Rempah Faiza percaya kejayaan sebenar diukur melalui sumbangan kepada masyarakat, bukan sekadar pencapaian perniagaan.
“Melalui agihan hidangan ikhlas ini, kami ingin menyantuni komuniti Bandar Seri Putra dengan semangat kebersamaan sekali gus menghidupkan erti pengorbanan,” katanya pada Program Korban Kasih Aidiladha di Masjid Bandar Seri Putra, di sini, pada Rabu.
Menurutnya, pemilihan aktiviti memasak dan pengagihan makanan juga selari dengan semangat Aidiladha yang menekankan nilai kasih sayang, perpaduan dan kegembiraan berkongsi rezeki bersama komuniti.
“Kami memilih untuk memasak dan mengagihkan hidangan kerana makanan adalah jiwa budaya kita. Orang-orang kita suka makan, kan?
“Terutamanya dalam menghidupkan barakah hari Raya haji ini dan Rempah Faiza ingin berkongsi rezeki dan kasih sayang terus ke hati komuniti Bandar Seri Putra sempena Raya haji hari ini,” jelasnya.
Program turut diserikan dengan pelbagai aktiviti sampingan seperti sesi penyediaan makanan tengah hari oleh Rempah Faiza, disusuli agihan makanan kepada orang ramai.
Rempah Faiza berharap program itu terus menjadi jambatan kasih yang menyatukan masyarakat, menyemai nilai keikhlasan dan pengorbanan, sekali gus menghidupkan semula semangat perpaduan yang menjadi inti sebenar sambutan Aidiladha.