KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) terus memainkan peranan sebagai ejen pemangkin dalam mempercepat transformasi desa secara holistik sepanjang 45 tahun penubuhannya sejak 1981.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata perjalanan KEDA selama lebih empat dekad itu sarat dengan pengorbanan serta kejayaan dalam mengubah landskap pembangunan luar bandar di Kedah.
“Alhamdulillah, KEDA terus memainkan peranan sebagai ‘catalyst agent’ (pemangkin) dalam mempercepat transformasi desa secara holistik meliputi aspek duniawi dan ukhrawi, demi kesejahteraan masyarakat desa.
“Saya percaya kekuatan sebenar KEDA terletak pada keikhlasan seluruh warganya yang sentiasa dekat dengan masyarakat desa dan memahami denyut nadi rakyat,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook, hari ini, bersempena dengan sambutan 45 tahun penubuhan agensi itu.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berharap KEDA terus menjadi agensi yang cakna, responsif dan komited dalam memperjuangkan agenda pembangunan luar bandar.
Beliau turut menzahirkan ucapan selamat meraikan ulang tahun ke-45 kepada seluruh warga KEDA serta berharap agensi itu terus maju dan kekal menjadi antara institusi penting dalam memacu kemajuan desa dan wilayah negara.
-- BERNAMA