WASHINGTON: Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan terhadap Pihak Berkuasa Selat Teluk Parsi Iran dengan mendakwa badan itu bertindak sebagai cabang pemerasan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) dengan memaksa kapal komersial membayar tol bagi melalui Selat Hormuz, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Jabatan itu dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan badan berkenaan memaksa kapal-kapal membayar “tol tidak sah” serta menyerahkan maklumat “sensitif” sebagai pertukaran bagi laluan selamat melalui selat itu, dengan dana berkenaan disalurkan terus kepada IRGC.
“Cubaan terbaharu tentera Iran untuk memeras perdagangan maritim global membuktikan bahawa (Operasi) Economic Fury telah menyebabkan negara itu terdesak mendapatkan wang tunai,” kata Setiausaha Perbendaharaan AS Scott Bessent.
Jabatan Perbendaharaan turut memberi amaran bahawa mana-mana individu atau entiti yang bekerjasama dengan pihak berkuasa itu, termasuk menerusi pembayaran tol menggunakan mata wang fiat, aset digital, pertukaran tidak rasmi atau bentuk pembayaran bukan tunai lain, berisiko dikenakan sekatan AS.
Ketegangan serantau meningkat sejak AS dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada Februari lepas. Tehran bertindak balas dengan melancarkan serangan menyasarkan Israel serta sekutu AS di Teluk, selain menutup Selat Hormuz.
-- BERNAMA-ANADOLU