KAMPALA: Uganda melarang penganjuran perhimpunan awam berskala besar dalam usaha membendung penularan virus Ebola di negara Afrika Timur itu, lapor Xinhua.
Dalam satu pekeliling yang dikeluarkan lewat Rabu, Kementerian Kesihatan Uganda memaklumkan bahawa aktiviti yang menarik kehadiran ramai termasuk konsert muzik, festival kebudayaan, perhimpunan awam, acara mobilisasi politik, maraton dan aktiviti pemasaran rentas sempadan adalah dilarang.
“Aktiviti ini meningkatkan risiko kerana menggalakkan interaksi fizikal rapat, percampuran orang ramai secara tidak terkawal dan pergerakan yang tidak perlu, yang boleh memudahkan penularan jangkitan Ebola sekiranya terdapat individu dijangkiti,” menurut kenyataan itu.
Kementerian berkenaan berkata perhimpunan rasmi, institusi dan aktiviti penting lain masih boleh dibenarkan dengan syarat penganjur mematuhi secara ketat prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Ebola.
Bagi perhimpunan yang diluluskan, penganjur diwajibkan memastikan kehadiran terkawal bagi mengelakkan kesesakan, menguatkuasakan cucian tangan wajib atau penggunaan sanitasi tangan berasaskan alkohol, menjalankan pemeriksaan suhu sebelum kemasukan serta melantik seorang pegawai penyelaras untuk memantau pematuhan langkah pencegahan dan kawalan Ebola.
Agensi keselamatan dan pihak berkuasa daerah turut diarahkan menguatkuasakan langkah itu secara tegas, khususnya di kawasan berisiko tinggi dan sempadan, bagi mengehadkan pergerakan tidak penting serta mencegah penularan lanjut penyakit itu.
Menurut kementerian itu, jumlah kes Ebola yang disahkan di Uganda kekal sebanyak tujuh kes, walaupun jumlah kontak rapat yang dikaitkan dengan kes berkenaan meningkat.
-- BERNAMA-XINHUA