SINGAPURA: Singapura berhasrat untuk memperkukuh lagi kerjasama dua hala dengan Korea Selatan susulan hubungan kedua-dua negara itu dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik, kata Menteri Luar Dr Vivian Balakrishnan.
Beliau berkata sebagai rakan ekonomi yang penting, kedua-dua negara kini sedang menyemak semula dan mengemas kini perjanjian perdagangan bebas (FTA) masing-masing.
"Sebagai Penyelaras Ekonomi ASEAN-Korea, kami juga berhasrat untuk menaik taraf Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-Korea pada masa hadapan.
"Oleh itu, terdapat banyak perkara yang perlu diselesaikan dalam konteks hubungan dua hala ini," katanya kepada media Singapura dalam satu temu bual rumusan selepas mengadakan lawatan kerja ke 13 buah negara semalam.
Balakrishnan turut melawat Korea Utara dalam siri jelajahnya atas jemputan Menteri Luar negara itu, Choe Son Hui.
Semasa lawatan berkenaan, beliau turut menyampaikan jemputan kepada rakan sejawatnya, Choe, untuk menghadiri Forum Serantau ASEAN.
Sementara itu, Kementerian Luar (MFA) Singapura dalam satu kenyataan mengenai lawatan ke Korea Selatan memaklumkan bahawa Balakrishnan telah menekankan kepentingan untuk Singapura dan Korea Selatan - sebagai negara yang mempunyai pandangan serupa serta bergantung kepada perdagangan - bekerjasama bagi menegakkan perdagangan bebas, undang-undang antarabangsa dan peraturan berasaskan orde pelbagai hala.
"Menteri Balakrishnan menyampaikan sokongan Singapura terhadap penglibatan membina dan dialog dalam kalangan semua pihak yang terlibat bagi mempromosikan keamanan serta kestabilan di Semenanjung Korea dan rantau yang lebih luas," menurut kenyataan itu.
Mengenai konflik di Asia Barat, MFA menyatakan bahawa menteri berkenaan dan rakan sejawatnya dari Korea Selatan, Cho Hyun, menegaskan semula kepentingan undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 (UNCLOS) dan Piagam PBB, serta hak laluan transit tanpa halangan melalui selat yang digunakan untuk navigasi antarabangsa.
"Mereka juga menekankan kepentingan pemulihan aliran trafik maritim melalui Selat Hormuz," menurut kenyataan itu lagi.
-- BERNAMA