Skip to main content

Dunia

Portugal catat rekod hari terpanas Mei, Eropah bergelut gelombang haba

A person swims in the Canal Saint-Martin amid a heatwave in Paris, France, May 28, 2026. REUTERS/Tom Nicholson
Seorang individu berenang di Terusan Saint-Martin ketika gelombang haba melanda Paris, Perancis. - Foto REUTERS

MORA: Portugal mencatatkan suhu tertinggi baharu bagi bulan Mei apabila bacaan mencecah 40.3 darjah Celsius di bandar Mora, sekali gus ketika negara-negara Eropah Barat berdepan gelombang haba luar biasa yang melanda rantau itu.

Rekod tersebut mengatasi paras 40 darjah Celsius yang dicatatkan sebelum ini pada Mei 2001, menurut agensi meteorologi tempatan.

Gelombang haba tersebut bukan sahaja melanda Portugal, malah turut menjejaskan beberapa negara lain termasuk Perancis, Itali, Jerman, Sepanyol dan Switzerland dengan suhu luar biasa tinggi bagi musim ini.

Di Perancis, kerajaan mengadakan mesyuarat khas bagi menilai tahap kesiapsiagaan negara berdepan cuaca panas ekstrem, termasuk risiko kebakaran hutan dan bekalan air sepanjang musim panas.

Keadaan panas terik turut menjejaskan aktiviti sukan apabila pemain tenis nombor satu dunia, Jannik Sinner, terpaksa menarik diri daripada Terbuka Perancis selepas mengalami pening dan keletihan akibat cuaca panas.

Sementara itu, pihak berkuasa Itali mengeluarkan amaran merah gelombang haba di beberapa bandar termasuk Rom, Florence dan Turin, dengan suhu di ibu negara itu dijangka mencecah 32 darjah Celsius.

Di Perancis, 17 wilayah termasuk Paris diletakkan di bawah amaran oren, dengan suhu ibu negara dijangka mencecah 34 darjah Celsius menjelang hujung minggu.

Beberapa langkah turut dilaksanakan bagi mengurangkan kesan cuaca panas, termasuk sekatan trafik terhadap kenderaan beremisi tinggi serta pengurangan had laju jalan raya.

Dalam sektor pendidikan, peperiksaan baccalaureate tetap diteruskan meskipun suhu tinggi memaksa beberapa sekolah ditutup.

Sebuah sekolah rendah di Souston dilaporkan terpaksa menghentikan operasi selepas suhu dalam bangunan mencecah 53 darjah Celsius.

Keputusan meneruskan peperiksaan itu menerima kritikan daripada kesatuan guru, dengan laporan menyebut sebahagian tenaga pengajar terpaksa membawa kipas sendiri bagi mengurangkan bahang panas dalam kelas.

Di Semenanjung Iberia, suhu di beberapa kawasan Portugal dijangka terus melebihi 35 darjah Celsius sebelum beransur surut menjelang hujung minggu.

Pakar cuaca menjelaskan fenomena ini berpunca daripada “kubah haba” atau 'heat dome', iaitu sistem tekanan tinggi yang memerangkap udara panas dan menyebabkan suhu meningkat secara mendadak.

Saintis turut menegaskan bahawa perubahan iklim global memainkan peranan dalam meningkatkan kekerapan dan keamatan gelombang haba, dengan Eropah kini dikenali sebagai benua yang paling cepat mengalami pemanasan.

Perkhidmatan perubahan iklim Copernicus melaporkan rantau itu telah mencatat peningkatan suhu secara konsisten sejak beberapa dekad lalu, sekali gus menjadikan kejadian cuaca ekstrem seperti ini lebih kerap berlaku.

Keadaan semasa menimbulkan kebimbangan terhadap impak kesihatan, ekonomi dan alam sekitar, ketika pihak berkuasa di seluruh Eropah meningkatkan langkah berjaga-jaga bagi melindungi penduduk daripada kesan bahang melampau.
 

 

Must Watch Video

Advertisement