KUALA LUMPUR: Program pemodenan grid Tenaga Nasional Bhd (TNB) bernilai RM43 bilion bakal memenuhi permintaan terhadap pusat data yang meningkat di Malaysia, dengan keperluan tenaga masa depan telah dimasukkan dalam perancangan penjanaan nasional yang lebih menyeluruh bagi memastikan kesiapsiagaan sistem untuk tempoh jangka panjang.
Bercakap pada Ekspo Pusat Data dan Infrastruktur Awan 2026, Ketua Pegawai Grid TNB Hasmarizal Hassan berkongsi langkah syarikat utiliti itu menyediakan infrastruktur grid untuk menyokong perkembangan pesat sektor berkenaan, termasuk kapasiti sambungan, tempoh pelaksanaan dan perancangan sistem jangka panjang.
Antara tumpuan utama ialah Laluan Lorong Hijau TNB, yang telah mengurangkan tempoh sambungan grid untuk pusat data daripada 36 bulan kepada serendah 12 bulan, menurut Hasmarizal dalam catatan di media sosial TNB.
Sehingga Mac 2026, sejumlah 33 projek telah dilaksanakan di bawah rangka kerja ini, mencerminkan pengiktirafan TNB bahawa kelajuan sambungan merupakan faktor utama dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pusat data serantau.
“Bagi mengurus pertumbuhan permintaan berskala besar, TNB turut mengguna pakai strategi grid berasaskan kluster, memberi tumpuan kepada pelaburan infrastruktur penghantaran dalam koridor pertumbuhan yang telah dikenal pasti,” katanya.
Beliau berkata Johor kekal sebagai antara kluster aktif utama di bawah strategi tersebut, dengan pengembangan seterusnya di seluruh negara dirancang untuk menyokong kebolehskalaan dan mengekalkan kebolehpercayaan sistem secara keseluruhan.
Hasmarizal berkata pendekatan itu bertujuan memastikan grid kekal berkeupayaan menyokong peningkatan permintaan terhadap infrastruktur digital dalam Malaysia terus menarik pelaburan pusat data dan pelaburan bernilai tinggi yang lain.
Kerajaan MADANI memberi tumpuan kepada industri yang mewujudkan peluang pekerjaan lebih baik, memudah cara pemindahan teknologi, memacu inovasi serta menggalakkan pertumbuhan ekonomi jangka panjang.
-- BERNAMA