Skip to main content

Bisnes

Literasi kewangan, keselamatan siber asas lindungi komuniti luar bandar - Affin

[TB]_AFFIN BANK_AFFIN BANK BHD
Program anjuran Kumpulan Affin dengan kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak itu menghimpunkan kira-kira 500 peserta terdiri daripada penduduk setempat dan wakil media sempena majlis penutupan sambutan Hari Gawai.

SERIAN: Literasi kewangan dan kesedaran keselamatan siber perlu diperkasakan, terutama dalam kalangan komuniti luar bandar bagi membantu masyarakat membuat keputusan kewangan yang lebih baik serta melindungi diri daripada ancaman penipuan dan jenayah siber yang semakin berleluasa, kata Pengarah Perbankan Sarawak Affin Bank Bhd Victor Liew Wui Tak.

Beliau berkata usaha memperluas pendidikan kewangan kepada masyarakat di peringkat akar umbi penting memandangkan penggunaan perkhidmatan digital dan transaksi dalam talian semakin meningkat, termasuk di kawasan luar bandar.

“Literasi kewangan dan kesedaran keselamatan siber semakin penting dalam dunia digital hari ini.

“Kami percaya pendidikan adalah langkah pertama untuk membantu masyarakat membuat keputusan kewangan yang lebih baik serta melindungi diri daripada penipuan dan ancaman siber,” katanya ketika ditemui pada program Ooohaa Gawai Dayak Affin 2026 di Kampung Mujat di sini semalam.

Program anjuran Kumpulan Affin dengan kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak itu menghimpunkan kira-kira 500 peserta terdiri daripada penduduk setempat dan wakil media sempena majlis penutupan sambutan Hari Gawai.

Menurut Liew, kerjasama dengan rakan strategik termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) membolehkan maklumat berkaitan pengurusan kewangan dan keselamatan digital disampaikan dalam bentuk yang lebih mudah difahami serta praktikal kepada masyarakat.

Antara pengisian utama program berkenaan ialah sesi literasi kewangan yang memfokuskan pencegahan penipuan, pengurusan wang secara bijak dan perancangan kewangan yang bertanggungjawab.

Selain aktiviti berkaitan kewangan, program itu turut menampilkan pelbagai pengisian kebudayaan yang dianjurkan penduduk Kampung Mujat dari komuniti Bidayuh subetnik Bukar Sadong, termasuk demonstrasi penyediaan makanan tradisional, persembahan tarian dan pameran pakaian tradisional sebagai usaha mempromosikan warisan budaya tempatan.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement