Skip to main content

Sukan

Kemarau sembilan tahun berakhir, Johor juara ragbi Piala Agong 2026

SHAH ALAM, 28 Jun -- Pasukan Ragbi Johor meraikan kejuaraaan selepas menewaskan pasukan Terengganu dalam perlawanan akhir Kejohanan Ragbi Piala Agong Edisi Ke-42 Tahun 2026 yang berlangsung di Stadium Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam hari ini.  Keputusaan penuh perlawanan, Terengganu 26 - 34 Johor.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Pasukan Ragbi Johor meraikan kejuaraaan selepas menewaskan pasukan Terengganu dalam perlawanan akhir Kejohanan Ragbi Piala Agong Edisi Ke-42 Tahun 2026 yang berlangsung di Stadium Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam hari ini. - Foto BERNAMA

SHAH ALAM: Pasukan ragbi Johor menamatkan kemarau sembilan tahun bergelar juara apabila berjaya menjulang Piala Agong 2026 selepas menewaskan Terengganu 34-26 pada aksi final edisi ke-42 di Stadium Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini hari ini.

Terengganu bermula cemerlang apabila mendahului 19-17 pada separuh masa pertama hasil tiga try dan dua conversion yang berjaya disempurnakan antara minit kesembilan hingga ke-15.

Bagaimanapun, Johor bangkit pada babak kedua dengan memperkemaskan jentera serangan apabila meraih satu try dan conversion pada minit ke-53 dan ke-54 untuk kembali memberi tekanan kepada lawan.

Skuad itu kemudian menambah dua lagi try dan conversion pada minit ke-59 dan ke-63 untuk memintas Terengganu sebelum mengesahkan kemenangan menerusi sepakan penalti pada minit ke-75, sekali gus menamatkan perlawanan 34-26.

Kali terakhir Johor menjulang Piala Agong adalah pada edisi 2017.

Dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat yang berlangsung lebih awal, Kelantan menewaskan juara bertahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 43-41 dalam perlawanan sengit.

Walaupun PDRM memberikan tentangan hebat sehingga wisel penamat, Kelantan kekal tenang mempertahankan kelebihan dua mata untuk meraih kedudukan ketiga kejohanan tahun ini.

Johor selaku juara membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000, manakala Terengganu menerima RM15,000. Kelantan dan PDRM masing-masing memperoleh RM10,000 dan RM5,000.

Pemain Johor Aqasha Daniel Irwan dipilih sebagai pemain terbaik kejohanan dan membawa pulang wang tunai RM1,000 serta plak penghargaan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement