KUALA LUMPUR: Enam pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Johor yang disyaki terlibat dalam kes buli berdepan tindakan disingkirkan daripada institusi berkenaan sekiranya didapati bersalah melakukan perbuatan tersebut.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata susulan laporan kes terbaharu itu, beliau telah mengarahkan Bahagian Pendidikan Menengah (BPM) MARA dan pentadbiran MRSM supaya mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) dengan kadar segera.
“Mesyuarat JDM perlu diadakan dengan kadar segera dalam tempoh 24 jam bagi menjalankan siasatan serta mengambil tindakan paling tegas terhadap pelajar yang didapati terlibat. Jika terbukti bersalah, mereka hendaklah disingkirkan daripada MRSM.
“Saya amat berdukacita, kesal dan kecewa apabila dimaklumkan mengenai satu kes buli yang didakwa berlaku di sebuah MRSM di Johor,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini.
Beliau berkata kes itu hanya diketahui selepas ibu bapa mangsa membuat hantaran di media sosial apabila anak mereka memohon untuk keluar daripada MRSM kerana tidak lagi mampu menanggung penderitaan akibat dibuli.
Katanya, insiden yang disyaki melibatkan enam pelajar Tingkatan 5 itu kini dalam siasatan pihak berkuasa selepas ibu bapa mangsa membuat laporan kepada pihak berkuasa dan keenam-enam pelajar terbabit telah ditahan reman selama dua hari bagi membantu siasatan.
“Walau apa juga alasan yang diberikan, perbuatan membuli atau mengambil tindakan sendiri atas alasan mahu ‘mendisiplinkan’ pelajar junior sama sekali tidak boleh diterima dan tidak akan dikompromikan.
“Saya ingin mengulangi pendirian yang telah berkali-kali saya tegaskan kepada seluruh warga MRSM, You Touch, You Go. Sesiapa yang terbukti melakukan perbuatan buli, tiada lagi tempat untuk mereka di MRSM. Tiada kompromi dan tiada tempat untuk pembuli di MRSM,” katanya.
Asyraf Wajdi turut menyeru kepada semua pelajar MRSM agar tidak takut untuk melaporkan sebarang kejadian buli kepada guru, warden atau pihak pentadbiran dengan segera serta tidak memilih untuk keluar dari sekolah semata-mata kerana menjadi mangsa.
“Saya juga ingin memberi amaran bahawa sekiranya terdapat mana-mana pihak yang cuba menyembunyikan atau melindungi perbuatan buli ini, MARA tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya.
Terdahulu, enam pelajar lelaki berusia 17 tahun ditahan polis awal pagi tadi bagi membantu siasatan kes buli membabitkan seorang pelajar lelaki 14 tahun di sebuah sekolah di Muar, Mei lepas.
-- BERNAMA