Skip to main content

Teknologi

YouTube perkenal kemas kini Shorts, paparan lebih bersih dan kawalan lebih pantas

YouTube Shorts
Melalui kemas kini terbaharu itu, pengguna boleh menyembunyikan sepenuhnya elemen antara muka seperti ikon interaksi, butang fungsi dan kapsyen dengan mengaktifkan mod “Clear Screen” menerusi menu tiga titik. -Foto Amanz

Platform YouTube mengemas kini antara muka Shorts di peringkat global hari ini bagi menawarkan pengalaman tontonan video pendek yang lebih bersih dan minimum gangguan visual, lapor Amanz.

Melalui kemas kini terbaharu itu, pengguna boleh menyembunyikan sepenuhnya elemen antara muka seperti ikon interaksi, butang fungsi dan kapsyen dengan mengaktifkan mod “Clear Screen” menerusi menu tiga titik.

Langkah tersebut menjadikan paparan Shorts hanya memaparkan kandungan video tanpa gangguan visual lain, sekali gus meningkatkan fokus ketika menonton.

Selain itu, YouTube turut memperkenalkan kawalan kelajuan baharu yang membolehkan video dimainkan pada kelajuan 2x dengan menekan dan menahan bahagian tepi skrin.

Kelajuan tersebut juga boleh dikunci untuk keseluruhan tontonan dengan meleretkan jari ke bawah semasa skrin ditekan.

Ciri berkenaan dilihat membantu pengguna menonton kandungan dengan lebih pantas, khususnya bagi video berbentuk tutorial atau penerangan ringkas.

Dalam masa sama, fungsi membisukan audio kini boleh diakses dengan lebih pantas menerusi pintasan ikon senyap sejurus skrin diketuk.

Bagi aspek interaksi, ikon tanda suka diperbaharui kepada bentuk hati, manakala butang tidak suka tidak lagi dipaparkan secara jelas pada antara muka utama Shorts.

Sebagai alternatif, YouTube memperkenalkan pilihan kawalan kandungan seperti “Not Interested” dan “Don’t recommend this channel” bagi membantu sistem mencadangkan video yang lebih relevan kepada pengguna.

Kesemua ciri baharu ini sedang diperkenalkan secara berperingkat kepada pengguna Android dan iOS di seluruh dunia.

 

Must Watch Video

Advertisement