REDMOND: Xbox mengumumkan pelancaran ciri keserasian versi terdahulu (backward compatibility) yang membolehkan permainan daripada konsol Xbox asal dimainkan secara rasmi menerusi PC Windows, lapor Amanz.
Sebagai permulaan, empat judul permainan klasik iaitu Blinx: The Time Sweeper, Fuzion Frenzy, Crimson Skies: High Road to Revenge dan Conker: Live and Reloaded akan ditawarkan kepada pengguna.
Apabila dimainkan di PC, visual permainan yang berusia lebih 20 tahun itu akan dipertingkatkan secara automatik dengan sokongan resolusi sehingga empat kali ganda.
Selain peningkatan resolusi, permainan tersebut turut menyokong ciri grafik moden termasuk V-Sync, penapisan anisotropik (anisotropic filtering), antialiasing (AA) serta integrasi storan awan menerusi Xbox Play Anywhere.
Anak syarikat Microsoft itu turut mengesahkan lebih banyak permainan klasik akan ditambah secara berperingkat dalam masa terdekat bagi memperluaskan ekosistem permainan tersebut.
Inisiatif berkenaan menerima reaksi positif daripada komuniti permainan video kerana memberikan akses rasmi kepada permainan lama tanpa perlu bergantung kepada fail ROM atau perisian emulator pihak ketiga yang tidak dibenarkan.