Skip to main content

Teknologi

SanDisk perkenal SSD 8TB, harga lebih mahal daripada PS5 Pro

Sumber: AMANZ
Lonjakan harga itu dikaitkan dengan peningkatan kos komponen memori global, didorong permintaan tinggi daripada industri kecerdasan buatan (AI). -Foto Amanz

SAN JOSE: SanDisk memperkenalkan storan Solid State Drive (SSD) terbaharu, Optimus GX Pro 850P, yang direka khusus untuk konsol Sony PlayStation 5 (PS5) dan PlayStation 5 Pro, lapor Amanz.

Namun, harga varian tertinggi 8TB mencetuskan perhatian apabila jauh lebih mahal berbanding sebuah konsol PS5 Pro.

Lonjakan harga itu dikaitkan dengan peningkatan kos komponen memori global, didorong permintaan tinggi daripada industri kecerdasan buatan (AI).

Siri Optimus GX Pro 850P merupakan penjenamaan semula daripada rangkaian WD_Black milik Western Digital, yang kini dilaporkan memberi tumpuan kepada pengeluaran cakera keras (HDD).

Dari segi spesifikasi, model ini menyerupai WD_Black SN850X dengan dilengkapi heatsink terbina serta penjenamaan PlayStation bagi kawalan haba yang lebih efisien.

SSD berasaskan PCIe Gen4 ini menawarkan kelajuan bacaan sehingga 7,300MB/s dan kelajuan penulisan sehingga 6,300MB/s.

SanDisk menawarkan empat pilihan kapasiti dengan harga berikut:

1TB: AS$379 (kira-kira RM1,542)
2TB: AS$759 (kira-kira RM3,089)
4TB: AS$1,499 (kira-kira RM6,101)
8TB: AS$2,595 (kira-kira RM10,561)

Sebagai perbandingan, harga varian 8TB itu mampu membeli sekitar tiga hingga empat unit konsol PS5 dalam pasaran global.

Dari segi kapasiti, model 8TB berupaya menyimpan sehingga 200 permainan video berdasarkan saiz purata pemasangan.

Setakat ini, produk tersebut ditawarkan di pasaran Barat, namun tiada pengumuman rasmi mengenai tarikh atau harga pelancarannya di Malaysia.

 

Must Watch Video

Advertisement