Skip to main content

Malaysia

Polis tahan empat lagi individu bantu siasatan kes jual, beli sijil cuti sakit palsu

KUANTAN, 23 Jun -- Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman bercakap berhubung isu kecurian kabel di tapak binaan laluan ECRL antara Gebeng-Gambang ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang hari ini.  -- fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata mereka yang ditahan berusia sekitar 40-an dan ditahan di sekitar daerah itu pada Rabu lepas. - Gambar fail/Bernama

PEKAN: Polis menahan empat lagi individu bagi membantu siasatan melibatkan kes penjualan dan pembelian sijil cuti sakit (MC), yang disyaki tidak sah.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata mereka yang ditahan berusia sekitar 40-an dan ditahan di sekitar daerah itu pada Rabu lepas.

“Sebelum ini lima individu ditahan dan direman di Mahkamah Majistret Pekan. Hasil siasatan susulan, empat lagi ditahan yang dipercayai merupakan pembeli,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia bersama Polis Diraja Malaysia Pahang di sini, hari ini.

Beliau berkata lima individu termasuk seorang jururawat wanita itu telah dibebaskan dengan jaminan polis, selepas tempoh reman antara tiga hingga empat hari bermula Isnin lepas, tamat pada hari ini.

Pada 15 Jun, media melaporkan lima individu termasuk seorang jururawat direman antara tiga hingga empat hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan kes penjualan dan pembelian sijil cuti sakit yang disyaki tidak sah. 

Sementara itu, Yahaya berkata polis masih melengkapkan kertas siasatan berhubung kemalangan maut di  Kilometer 43 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Ahad lepas yang mengorbankan empat sekeluarga.

Beliau berkata pemandu treler berusia 40 tahun terbabit telah ditahan sebelum ini dan hasil pemeriksaan mendapati lelaki berkenaan positif dadah serta mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau, termasuk saman trafik dan rekod jenayah berkaitan dadah.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987, kerana memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian, selain Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Yahaya berkata suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis, selepas tamat tempoh reman bagi membolehkan siasatan dilengkapkan.

“Kita masih menunggu laporan kimia sebelum kertas siasatan dirujuk kepada pihak pendakwaan untuk tindakan selanjutnya,” katanya. 

Pada 15 Jun, Ketua Polis Daerah Bentong Superintenden Zaiham Mohd Kahar memaklumkan pemandu treler berumur 40 tahun itu didapati positif dadah.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement