PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan terus memperkukuh usaha meningkatkan kualiti hidup rakyat menerusi penyampaian perkhidmatan yang cekap dan berkesan dalam menghadapi cabaran urbanisasi, perubahan iklim serta perkembangan teknologi.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata aspek yang sering dianggap remeh seperti kebersihan kejiranan, keselesaan pasar awam, keadaan jalan dan sistem saliran, pengurusan ruang awam serta perancangan bandar sebenarnya teras kesejahteraan masyarakat.
Beliau berkata semua elemen itu membentuk ekosistem kehidupan harian yang mencerminkan keberkesanan tadbir urus dan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.
"Perumahan tidak sekadar berbentuk fizikal bangunan, tetapi melambangkan maruah, keselamatan dan rasa memiliki. Tadbir urus tempatan pula bukan sekadar proses pentadbiran, tetapi mencerminkan kepercayaan, tanggungjawab dan kepimpinan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis lawatan rasmi 13 pelajar antarabangsa Kursus Intensif Keterampilan Bahasa Melayu (KIKBM) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke KPKT, di sini hari ini.
Aiman Athirah berkata dalam era urbanisasi pesat, kerajaan di semua peringkat perlu bersifat tangkas, berpusatkan rakyat dan berpandangan jauh bagi memastikan perkhidmatan awam terus relevan dengan keperluan semasa.
Katanya cabaran baharu termasuk perubahan iklim, pendigitalan, tekanan ekonomi dan perubahan demografi memerlukan pendekatan pembangunan yang bukan sahaja cekap tetapi juga inklusif dan lestari.
Beliau berkata nilai budaya seperti gotong-royong, muafakat dan budi bahasa turut memainkan peranan penting dalam membentuk tadbir urus yang berkesan dan memperkukuh kesejahteraan komuniti.
"Gotong-royong mengingatkan bahawa ruang awam tanggungjawab bersama, muafakat menekankan kebijaksanaan kolektif manakala budi bahasa menegaskan hubungan sosial perlu dibina atas dasar hormat dan kesederhanaan. Nilai-nilai ini bukan sekadar warisan budaya, tetapi landasan falsafah yang membimbing tadbir urus moden dalam menghadapi cabaran masa hadapan," katanya.
Sementara itu, Aiman Athirah berkata penguasaan bahasa dan pemahaman budaya semakin penting dalam memperkukuh persefahaman antara masyarakat pelbagai negara ketika dunia berdepan cabaran geopolitik dan perkembangan teknologi yang pesat.
Beliau berkata keupayaan memahami bahasa dan budaya negara lain bukan lagi satu kemewahan, sebaliknya menjadi keperluan yang signifikan dalam landskap kehidupan semasa.
"Keupayaan memahami bahasa dan budaya lain membuka ruang empati, mengurangkan salah faham serta meluaskan horizon kerjasama baharu yang berteraskan persefahaman dan saling hormat-menghormati," katanya.
Beliau berkata penguasaan bahasa membolehkan seseorang memahami struktur pemikiran dan sistem nilai sesebuah masyarakat, termasuk bagaimana norma sosial dibentuk, perbezaan diuruskan serta hubungan dibina berasaskan prinsip hormat dan muafakat.
Aiman Athirah berkata kehadiran pelajar antarabangsa yang mempelajari bahasa Melayu membuktikan bahasa itu terus relevan sebagai medium ilmu dan wahana memperkukuh hubungan antara negara.
Lawatan itu disertai 13 pelajar dari Moscow, Rusia yang mengikuti program dwiijazah melibatkan Kyunghee University, Seoul dan National Research University Higher School of Economics, Moscow.
Program lawatan itu turut merangkumi pengurusan kerajaan tempatan serta lawatan lapangan ke Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Majlis Perbandaran Sepang, ladang buah naga, Jeti Sirip Biru dan Pantai Bagan Lalang.
Ia juga bagi memberi gambaran menyeluruh tentang peranan KPKT bukan sahaja di peringkat dasar, tetapi dalam menyampaikan perkhidmatan komprehensif yang menyentuh kehidupan rakyat.
-- BERNAMA