Skip to main content

Teknologi

Pelabur awal Manus rancang beli semula syarikat daripada Meta

41767759204_ManusMeta.jpg
Sejak diambil alih oleh Meta, prestasi syarikat itu dilaporkan meningkat ketara, dengan pendapatan tahunan melonjak kepada antara AS$400 juta hingga AS$500 juta, berbanding sekitar AS$100 juta sebelum ini. -Gambar fail

HONG KONG: Barisan pelabur awal firma kecerdasan buatan (AI), Manus, dilaporkan merancang untuk membeli semula syarikat itu daripada Meta Platforms pada nilai AS$2 bilion (kira-kira RM8.26 bilion), lapor Amanz.

Langkah tersebut diambil susulan arahan pihak berkuasa China yang sebelum ini menuntut pembatalan pengambilalihan atas faktor peraturan pelaburan domestik serta keselamatan teknologi.

Menurut laporan The Information, pelabur terlibat dalam bidaan semula itu termasuk Tencent Holdings, HSG dan ZhenFund.

Nilai pembelian tersebut menyamai jumlah asal yang dibayar oleh Meta ketika memeterai perjanjian pengambilalihan pada Disember lepas.

Manus, yang kini berpangkalan di Singapura dan diasaskan di China, dikenali dengan pembangunan ejen AI autonomi yang mampu melaksanakan tugasan kompleks dengan campur tangan minimum manusia.

Sejak diambil alih oleh Meta, prestasi syarikat itu dilaporkan meningkat ketara, dengan pendapatan tahunan melonjak kepada antara AS$400 juta hingga AS$500 juta, berbanding sekitar AS$100 juta sebelum ini.

Perkembangan terbaharu ini turut menyaksikan penstrukturan semula operasinya kepada bentuk usaha sama di China, selain rancangan untuk meneroka penyenaraian awam (IPO) di Bursa Saham Hong Kong pada masa hadapan.

Setakat ini, Meta, Manus serta pelabur terlibat belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung laporan tersebut.

 

Must Watch Video

Advertisement