NETFLIX mendedahkan kira-kira 300 judul di platform penstriman itu telah menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) generatif dalam proses penerbitan sepanjang tahun ini, lapor Amanz.
Menurut syarikat itu, penggunaan AI generatif meningkat ketara berbanding tahun lalu dan kini digunakan pada pelbagai peringkat produksi, daripada pembangunan idea serta pravisualisasi sehinggalah pascaproduksi dan proses penerbitan.
Dalam laporan kewangan suku kedua 2026, Netflix berkata teknologi itu membantu menghasilkan kesan visual yang kompleks dengan lebih pantas dan pada kos lebih rendah tanpa menggantikan peranan tenaga kreatif manusia.
Antara judul yang disahkan menggunakan AI generatif ialah siri Glory dari India, Brasil 70: A Saga do Tri dari Brazil dan dokumentari The American Experiment dari Amerika Syarikat.
Teknologi itu digunakan untuk menghasilkan adegan peperangan, menambah jumlah pelakon latar dan membina latar dunia yang lebih kompleks.
Netflix berkata penggunaan AI generatif membolehkan syarikat menghasilkan output berkualiti tinggi dengan lebih cekap berbanding kaedah tradisional.
Sebagai contoh, kira-kira 17 minit rakaman yang dipertingkat menggunakan AI dalam The American Experiment berjaya disiapkan dua kali lebih pantas dan pada separuh kos berbanding kaedah terdahulu.
Syarikat itu turut mengukuhkan pelaburannya dalam bidang berkenaan menerusi pengambilalihan syarikat AI InterPositive yang diasaskan pelakon Ben Affleck pada Mac lalu.
Netflix berkata teknologi itu bertujuan menyediakan alat yang lebih baik kepada penggiat kreatif untuk merealisasikan idea mereka, bukannya menggantikan tenaga kerja manusia.