Skip to main content
Advertisement

Teknologi

Musk dakwa angkasa lepas bakal jadi pusat pemprosesan AI termurah

81733218525_ElonMuskjpg.jpg
Musk (foto) berkata unjuran itu dipacu oleh kelebihan persekitaran angkasa yang menerima pancaran matahari secara berterusan tanpa gangguan awan, perubahan musim, atau kitaran siang dan malam. -Gambar fail

PENGASAS xAI dan SpaceX, Elon Musk, mendakwa angkasa lepas berpotensi menjadi lokasi paling murah dan ekonomik untuk pemprosesan komputer kecerdasan buatan (AI) dalam tempoh 30 hingga 36 bulan akan datang.

Bercakap dalam sesi temu bual audio siar (podcast) Dwarkesh, Musk berkata unjuran itu dipacu oleh kelebihan persekitaran angkasa yang menerima pancaran matahari secara berterusan tanpa gangguan awan, perubahan musim, atau kitaran siang dan malam.

Keadaan ini membolehkan panel solar di orbit beroperasi sehingga lima kali lebih cekap berbanding di Bumi, sekali gus mengurangkan keperluan kepada sistem bateri yang mahal.

Menurut Musk, Bumi kini berdepan kekangan bekalan tenaga, khususnya di luar China, manakala permintaan terhadap cip AI terus meningkat dengan pesat.

Situasi tersebut dijangka memberi tekanan kepada infrastruktur tenaga pusat data konvensional, sekali gus membuka ruang kepada penjanaan tenaga berasaskan solar di orbit sebagai alternatif bagi menyokong keperluan pengkomputeran AI berskala besar.

Bagaimanapun, pandangan itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan penganalisis pasaran.

Pengkritik berpendapat kos perkakasan cip seperti GPU menyumbang sebahagian besar kos pusat data, dan penempatan infrastruktur di angkasa lepas berisiko meningkatkan cabaran penyelenggaraan serta mempercepatkan susut nilai peranti.

Walaupun begitu, keyakinan Musk terhadap konsep ini dilihat selari dengan langkah strategik menggabungkan xAI ke dalam ekosistem SpaceX.

Malah, SpaceX baru-baru ini dilaporkan memeterai perjanjian bernilai kira-kira AS$30 bilion bagi membekalkan kapasiti pengkomputeran AI kepada Google untuk menyokong platform Gemini Enterprise.

Must Watch Video

Advertisement