LOS ANGELES: Microsoft mengumumkan langkah untuk kembali menawarkan permainan video secara eksklusif bagi ekosistem konsol Xbox, sekali gus menghidupkan semula persaingan dalam pasaran konsol global.
Pengumuman itu dibuat dalam acara penstriman Xbox Games Showcase 2026 awal pagi Isnin, dengan dua judul utama iaitu Gears of War: E-Day dan Clockwork Revolution disahkan sebagai eksklusif platform berkenaan.
Langkah ini menyusul reaksi dalam kalangan peminat selepas Microsoft sebelum ini membawa beberapa francais popular seperti Forza, Sea of Thieves dan Halo ke konsol pesaing dalam tempoh dua tahun lalu.
Bagaimanapun, Microsoft menegaskan judul yang telah diumumkan untuk platform lain sebelum ini, termasuk Halo: Campaign Evolved, akan diteruskan seperti dirancang.
Penganalisis industri berpandangan keputusan terbaharu ini bertujuan memperkukuh semula identiti dan nilai jenama Xbox di tengah persaingan sengit dengan Sony.
Pada masa sama, Sony dilaporkan turut mengekalkan strategi kandungan eksklusif bagi platformnya, sekali gus memperlihatkan perubahan hala tuju industri ke arah persaingan berasaskan kandungan.
Persaingan fasa baharu ini dijangka tertumpu kepada pemilikan judul eksklusif, memandangkan pelancaran konsol generasi baharu dilihat tertangguh berikutan isu rantaian bekalan komponen seperti memori capaian rawak (RAM).