TEHRAN: Kementerian Luar Iran mengecam sekeras-kerasnya serangan ketenteraan yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas wilayah selatan negara itu malam tadi, sambil menyifatkannya sebagai pencabulan jelas terhadap undang-undang antarabangsa.
Menurut kenyataan rasmi kementerian, AS didakwa melancarkan serangan ke atas beberapa kawasan di selatan Iran pada awal pagi Rabu.
Pihak kementerian menegaskan bahawa tindakan tersebut melanggar Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), khususnya Perenggan 4 Artikel 2 yang melarang penggunaan kekerasan dalam hubungan antarabangsa.
Susulan itu, Tehran berkata pihaknya telah bertindak balas terhadap tindakan ketenteraan AS bagi mempertahankan kedaulatan negara, berlandaskan hak mempertahankan diri di bawah Artikel 51 Piagam PBB.
Kementerian itu turut memaklumkan angkatan tentera Iran telah menyasarkan beberapa pangkalan AS di rantau berkenaan yang dikenal pasti sebagai lokasi pelancaran serangan udara.
Iran menyifatkan tindakan Washington itu sebagai satu bentuk pencerobohan terhadap kedaulatan wilayahnya.